mutakhir

Mahu maahad tahfiz diperkasakan

Oleh Balqis Jazimah Zahari

KERAJAAN Perak meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM1.66 juta kepada Persatuan Maahad Tahfiz Al-Quran Negeri Perak (PEMATAP) bagi memperkasakan institusi terbabit.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, bantuan kewangan itu bagi membantu pengurusan persatuan sekali gus memperkasakan maahad tahfiz di negeri ini.

"Sebanyak RM568,800 disalurkan untuk bantuan saraan untuk Jun, manakala sebanyak RM560,000 pula bagi pengurusan maahad tahfiz.

"Manakala sebanyak RM159,000 diperuntukkan bagi mewujudkan pangkalan data dan sistem bersepadu Maahad Tahfiz Perak," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan hormat Persatuan Maahad Tahfiz Al Quran Negeri Perak (PEMATAP) di Pejabat Menteri Besar Perak di Ipoh, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi PEMATAP, Mohd Azlan Suhaimi.

Ahmad Faizal berkata, selain itu, daripada jumlah berkenaan sebanyak RM150,000 disalurkan bagi bantuan penganjuran program, kos operasi (RM125,800) dan Tabung Modal Koperasi (RM100,000).

"Saya berharap PEMATAP akan dapat berkembang lebih baik dengan bantuan tambahan daripada kerajaan negeri.

"Diharap usaha untuk memperbaiki tahap pelajaran anak tahfiz dapat dipertingkatkan dan memastikan sekolah tahfiz didaftarkan secara rasmi dengan kerajaan negeri," katanya.

Katanya, PEMATAP juga bercadang menubuhkan koperasi agar dapat menjana pendapatan bagi kembali membantu operasi maahad tahfiz dan juga program yang dijalankan.

"Kita meminta kerjasama PEMATAP agar bersama-sama dengan kerajaan negeri untuk memantau perkembangan anak-anak di maahad tahfiz berkenaan," katanya.

Disiarkan pada: July 7, 2020 @ 4:31pm
d