mutakhir

Hijau masuk, merah tunggu...[METROTV]

Oleh Nor Farhani Che Ad

BAGI mengekalkan kepatuhan penjarakan sosial, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Syed Abu Bakar di Baling mengambil inisiatif mewujudkan sistem lampu isyarat di tandas sekolah.

Pengetuanya, Mohd Noor Saad berkata, usaha itu dilakukan selepas mendapat saranan daripada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah apabila mahu mempraktikkan kaedah sistematik dalam penggunaan kemudahan di sekolah termasuk tandas.

"Idea menggunakan sistem lampu isyarat di tandas sekolah ini timbul bila saya tengok penggunaan sistem lampu di parkir kenderaan di sesetengah tempat.

"Jadi, saya cuba bawa sistem ini ke sekolah dengan bantuan guru-guru dan kakitangan sekolah, ternyata ia berjaya seperti yang kita inginkan," katanya ketika ditemui di sekolah berkenaan, hari ini.

Mohd Noor berkata, empat guru dari program pendidikan vokasional menengah atas (PVMA) bagi subjek elektrik bertanggungjawab membangunkan sistem berkenaan yang mengambil masa kira-kira tujuh hari untuk disiapkan.

Bercerita mengenai penggunaan sistem berkenaan, beliau berkata, setiap pelajar dan kakitangan perlu memetik suis di pintu masuk tandas jika mahu menggunakannya.

Menurutnya, jika lampu merah menyala di panel suis berkenaan bermakna tandas terbabit sedang digunakan.

"Mereka perlu menekan suis semula bagi mengeluarkan lampu hijau sebaik selesai menggunakan tandas.

"Bagi memastikan kebersihan pada suis berkenaan, setiap individu yang menggunakan tandas perlu memastikan tangan mereka sentiasa dibersihkan menggunakan cecair pembasmi kuman atau membersih tangan menggunakan air dan sabun.

"Kita menyediakan cecair pembasmi kuman sebelum pelajar dan kakitangan masuk ke dalam tandas selain mereka juga perlu mencuci tangan sebelum keluar dari tandas," katanya.

Menurutnya, bagi penggunaan tandas pelajar, hanya lima pelajar sahaja dibenarkan masuk ke dalam tandas, manakala selebihnya perlu berbaris di luar tandas.

Katanya, hanya lima pelajar sahaja dibenarkan berbaris bagi penjarakan sosial, manakala selebihnya perlu masuk ke kelas terlebih dahulu bagi mengelakkan kesesakkan menunggu di luar pintu tandas.

"Biarpun pada awalnya agak kekok, namun bimbingan daripada guru menjadikan ianya kini sudah menjadi satu budaya dan peraturan baharu di sekolah ini.

"Memang ada pelajar yang kadang-kadang lupa tekan suis sebelum masuk tandas, dan ada juga lupa nak tukar ke lampu hijau, tetapi kebanyakannya mula terbiasa dengan normal baharu ini.

"Kita akan sentiasa mencari idea baru bagi memudahkan warga sekolah mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sekali gus membantu memutuskan rantaian Covid-19 di dalam negara," katanya.

Disiarkan pada: July 7, 2020 @ 4:58pm
d