mutakhir

Polis terima lima laporan terhadap wartawan Al Jazeera

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

POLIS menerima lima laporan berkaitan dokumentari agensi berita antarabangsa Al Jezeera berhubung layanan terhadap warga asing ketika negara memerangi pandemik Covid-19 sejak 10 Jun lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed berkata, pihaknya sudah mengenal pasti individu yang terbabit bagi membantu siasatan berhubung kes itu.

"Wartawan Al Jazeera dan semua yang terbabit dalam membuat liputan berita berkenaan akan dipanggil dalam masa terdekat.

"Pihak polis menyiasat perkara berkenaan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana menyiarkan berita fitnah dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana menyalahgunakan rangkaian perkhidmatan tidak wajar," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Huzir berkata, pihaknya sudah memulakan siasatan berhubung laporan berkenaan.

"Laporan yang tidak berasas dan berat sebelah berkenaan menimbulkan kegusaran dan kebimbangan majoriti rakyat negara ini seolah-olah kerajaan begitu berlembut dengan pihak berkenaan apabila mereka menyiarkan berita yang tidak benar mengenai kejayaan kerajaan menangani penularan wabak Covid-19.

"PDRM ingin menegaskan bahawa tidak ada pihak yang akan terlepas daripada sebarang tindakan undang-undang sekiranya ada cubaan dari pihak tertentu untuk memburukkan imej Malaysia di mata dunia," katanya.

Terdahulu, Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador dilaporkan berkata polis akan memanggil pengendali Al Jazeera dan wartawannya yang berkaitan dalam masa terdekat bagi membantu siasatan.

Menurutnya, siasatan akan dilakukan menurut beberapa peruntukan undang-undang di bawah Kanun Keseksaan dan Akta Hasutan.

"Kita akan tengok dari sudut undang-undang selepas dia menjawab soalan-soalan," katanya.

Disiarkan pada: July 7, 2020 @ 7:06pm
d