mutakhir

Rezeki pisau jenama LNH [METROTV]

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

WALAUPUN terpaksa bermandi peluh dan menahan bahang api, anak muda dari Kampung Kuala Menjing, Kuala Berang ini boleh tersenyum bangga apabila pisau, golok dan kapak buatannya mendapat tempat dalam kalangan masyarakat.

Dengan menggunakan pisau jenama sendiri LNH, Lokman Nurhakim Sukry, 21, bukan hanya menerima tempahan dalam kalangan penduduk setempat, malah rekaannya turut mendapat sambutan dari Brunei, Thailand dan Korea.

Menurut Lokman Nurhakim yang lebih mesra dipanggil De, dia tidak menyangka pembabitan awalnya sekadar untuk mengisi masa lapang kini menjadi sumber rezekinya.

"Saya belajar cara pembuatan bilah pisau menerusi Youtube kira-kira dua tahun lalu sebelum timbul minat selain mahu memanfaatkan sisa arang memandangkan ayah, Sukry Abdullah, 57, adalah pengusaha arang tradisional.

"Sisa arang itu masih boleh digunakan, jadi daripada dibuang begitu sahaja, saya guna untuk pembakaran dan proses menghasilkan pisau.

"Selain pisau, saya turut menghasilkan golok sembelih, golok tulang, golok lasak, kapak tulang, pisau serbaguna dan pisau melapah," katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Kuala Menjing.

Katanya, dia juga tidak menyangka pisaunya mendapat permintaan dari luar negara dengan setiap pisau jenama LNH dijual pada harga antara RM80 hingga RM450.

"Pada awal pembabitan, pisau keluarannya dijual kepada rakan-rakan serta dipromosikan di media sosial sebelum menerima tempahan baik dalam dan luar negara.

"Untuk tahun ini, saya terpaksa tutup tempahan kerana perlu menyiapkan hampir 400 bilah tempahan," katanya yang sebelum ini bekerja kampung dan menjual durian di Bandar Kuala Terengganu.

Mengenai cara penghasilan pisaunya, De berkata, dia menggunakan bahan 'planner blade' atau mata ketam, spring terpakai dan 'high carbon steel' serta 'high speed steel' yang turut diimport dari Jerman mahupun Amerika Syarikat.

Katanya, dia mampu menyiapkan empat bilah pisau dalam sehari, namun bergantung kepada jenis dan saiz bilah pisau.

"Jika diikutkan, memang panas dan berpeluh sebab kena bermain dengan api tetapi saya puas hati apabila melihat pisau jenama sendiri berada di pasaran dan ada peminatnya sendiri.

"Bagi saya, usia bukan penghalang untuk berjaya dan apa sahaja peluang yang ada perlu digunakan sebaik mungkin jika mahu berjaya dalam hidup," katanya.

Disiarkan pada: July 7, 2020 @ 8:20pm
d