mutakhir

'Bersama-sama bangunkan khazanah Felda" - PM

Oleh BERNAMA

PERDANA Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, hari ini berkata Felda yang diumpamakan sebagai 'lombong emas' tidak akan memberi manfaat sekiranya tidak 'digali' oleh peneroka.

Justeru, Perdana Menteri yang bersetuju dengan perumpamaan yang diberikan oleh Pengerusi Felda Datuk Seri Idris Jusoh mahu peneroka tanah rancangan itu mencari khazanah yang tersimpan di 'lombong emas' berkenaan.

"Saya ingin membawa anda merenung seketika tentang harta berharga yang ada di depan mata kita semua. Harta ini adalah Felda. Saya setuju Felda yang boleh diumpamakan sebagai 'lombong emas'.

"Namun, lombong emas ini tidak memberikan apa-apa manfaat jika ia tidak 'digali' oleh kita semua untuk mencari khazanah yang tersimpan di dalamnya," katanya ketika berucap merasmikan sambutan Hari Peneroka Felda 2020 Peringkat Kebangsaan di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Felda, Kampung Tun Abdul Razak di Sungkai, hari ini.

Dalam ucapan sulung sebagai Perdana Menteri pada sambutan berkenaan, Muhyiddin mengajak peneroka bersama-sama berganding bahu meneroka dan mengusahakan khazanah tanah rancangan Felda yang mempunyai bermacam-macam potensi.

Dalam ucapannya, Muhyiddin berkata, Program Pembangunan Peneroka akan dilaksanakan di semua tanah rancangan Felda di seluruh negara, membabitkan hampir 31,000 peneroka dengan peruntukan kerajaan berjumlah RM1 bilion bagi tempoh empat tahun.

Katanya, usaha itu susulan kejayaan projek rintis program terbabit di Felda Bukit Rokan, Negeri Sembilan yang bermula pada November tahun lalu yang menunjukkan pencapaian memberangsangkan dan memberi manfaat langsung kepada lebih 300 peneroka.

Muhyiddin berkata, Felda yang memiliki tanah pertanian yang luas, berpotensi besar untuk menjadi peneraju utama sektor pertanian pintar dan pengeluaran makanan di negara ini.

"Saya percaya jika potensi ini dapat dibangunkan sepenuhnya, Felda akan menjadi antara pengeluar makanan utama negara dan mewujudkan jaminan bekalan makanan yang stabil di samping menjadi pengeluar komoditi utama negara.

"Saya juga ingin melihat Felda bangkit sebagai pemangkin dan peneraju industri makanan berskala besar dengan menggerakkan aktiviti perladangan berteraskan pertanian pintar dan aktiviti hiliran yang inovatif," katanya.

Selain itu, Muhyiddin berkata, sepanjang 64 tahun penubuhannya, Felda menerima pelbagai pengiktirafan hingga ke peringkat antarabangsa dan melakar kejayaan termasuk dalam soal membasmi kemiskinan, meningkatkan hasil komoditi negara serta meningkatkan taraf hidup masyarakat khususnya di luar bandar.

Bagaimanapun, katanya selari dengan perubahan semasa, Felda perlu meneroka bidang-bidang baharu yang boleh menjamin kehidupan lebih baik buat semua warganya.

Katanya, antara yang sedang dilaksanakan ialah Model Baharu Felda dengan teras utamanya termasuk Program Pembangunan Peneroka bagi mendapatkan hasil baharu, pengurusan ladang melalui pengukuhan koperasi Felda dan penggunaan teknologi terkini dalam pertanian pintar.

"Matlamat utama model baharu ini ialah untuk membantu peneroka meraih pendapatan tambahan lebih lumayan dan tidak lagi bergantung sepenuhnya pada hasil kelapa sawit dan getah. Apatah lagi dunia kini berdepan dengan harga komoditi yang tidak menentu," katanya.

Pada majlis itu, Muhyiddin turut menyampaikan empat anugerah iaitu Pencapaian Peningkatan Hasil Sawit Tahun 2019, Pencapaian Peningkatan Hasil Getah Tahun 2019, Purata Pendapatan Tertinggi Usahawan Felda Tahun 2019 dan Anugerah Keceriaan Kampung Felda Tahun 2019.

Disiarkan pada: July 7, 2020 @ 8:28pm
d