mutakhir

UniSZA lancar buku pandemik Covid-19

Oleh Ahmad Rabiul Zulkifli

UNIVERSITI Sultan Zainal Abidin (UniSZA) menjadi antara universiti terawal melancarkan buku berkisarkan mengenai pandemik Covid-19.

Buku bertajuk 'Mendepani Pandemik Covid-19 Perspektif UniSZA' itu menghimpunkan makalah yang memberi fokus kepada usaha pihak UniSZA menangani wabak Covid-19 yang melanda negara.

Buku mempunyai 101 muka surat itu disunting tiga pensyarah UniSZA iaitu Prof Madya Dr Zulazhan Ab Halim, Prof Madya Dr Mohd Shafiee Hamzah dan Dr Anas Mohd Yunus.

Ia menceritakan bagaimana sebuah universiti awam mengurus suatu wabak yang merebak secara tiba-tiba sehingga berjaya ditangani tanpa ada kes jangkitan dan kematian warganya direkodkan.

Dr Mohd Safiee berkata, buku mengandungi tujuh bab itu ditulis gabungan individu terbabit secara langsung dalam usaha memerangi pandemik Covid-19 di UniSZA.

"Ia menceritakan usaha kami mengendalikan isu Covid-19 di UniSZA dengan kerjasama pensyarah, kakitangan dan penuntut sama ada dalam perkara membabitkan hal ehwal akademik, penuntut atau penyelidikan.

"Bukan itu sahaja, UniSZA turut memberikan sumbangan kewangan, makanan dan pelbagai keperluan kepada warganya serta komuniti setempat," katanya pada Majlis Taklimat dan Penyerahan Tugas Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, di Dewan Perdana UniSZA, hari ini.

Pada majlis itu, Tan Sri Dr Abdullah Md Zain dilantik menjadi Pengerusi Lembaga Pengurusan Universiti (LPU) UniSZA bermula 5 Julai 2020 sehingga 4 Julai 2023 menggantikan Datuk Dr Muhammad Nur Manuty.

Disiarkan pada: July 7, 2020 @ 9:37pm
d