mutakhir

Buru lelaki dakwa Masjid Bagan Dalam kluster Covid-19

Oleh Nur Izzati Mohamad

POLIS sedang mengesan seorang lelaki yang merakam dan menyebarkan mesej bersuara melalui aplikasi WhatsApp mendakwa kononnya Masjid Bagan Dalam di Butterworth, menjadi kluster terbaharu jangkitan Covid-19.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, mesej bersuara berdurasi satu minit dipercayai dirakam lelaki tidak dikenali tersebar hingga mencetuskan kegusaran penduduk setempat.

Malah, katanya, siasatan pihaknya mendapati sebaran itu adalah maklumat palsu.

"Polis mengadakan perjumpaan bersama pengerusi masjid itu dan memaklumkan mesej bersuara tidak benar dan semakan turut dibuat dengan Kementerian Kesihatan yang mendapati ia berita palsu.

"Justeru, kita sedang mengenal pasti lelaki yang merakam dan menyebarkan mesej berkenaan untuk siasatan lanjut," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Noorzainy turut menasihati pihak masjid supaya membuat laporan polis menafikan dakwaan berkenaan.

Mesej bersuara itu menyiarkan suara lelaki meminta masyarakat berhati-hati kononnya terdapat penularan Covid-19 di kawasan masjid berkenaan hingga sudah menjangkiti beberapa jemaah.

Ia juga meminta masyarakat tidak ke masjid dan berada di kawasan berkenaan kerana sudah dipagar pihak berkuasa.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: July 8, 2020 @ 12:31pm
    d