mutakhir

Dua beradik antara 3 lelaki didakwa kurung, pukul jurukimpal [METROTV]

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

TIGA lelaki termasuk dua beradik yang mengurung dan memukul seorang jurukimpal dihadapkan ke Mahkamah Majistret di Marang, hari ini.

Muhamad Hafizhu Zarawi, 33, dan adiknya, Muhamad Azizu Zarawi, 27, dan seorang lagi rakan mereka berusia 26 tahun mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Engku Nurul Ain Engku Muda.

Bagaimanapun, Muhamad Hafizhu dan Muhamad Azizu mengaku tidak bersalah dan mohon untuk dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan.

Seorang lagi tertuduh dibebaskan untuk dijadikan saksi pendakwaan.

Mengikut pertuduhan pertama, mereka didakwa mengurung dengan salah Ahmad Farid Mohammad, 28, dengan tujuan memaksa mangsa memulangkan wang tunai yang mungkin membawa pengembalian harta itu.

Kesalahan dilakukan di dalam sebuah Proton Wira Aeroback di hadapan sebuah rumah di Kampung Bukit Gasing, Marang pada 6.20 pagi, 1 Julai lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 348 Kanun Keseksaan (KK) dan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, mereka didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap mangsa di alamat sama pada 6.30 pagi, hari sama.

Mereka yang didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama berdepan hukuman penjara sehingga satu tahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan 5 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM8,000 bagi semua pertuduhan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, M Lishantini manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd Shahir Mat Jusoh.

Media sebelum ini melaporkan seorang jurukimpal maut dipercayai akibat dibelasah tiga lelaki di Kampung Bukit Gasing.

Dalam kejadian kira-kira 6 pagi itu, mangsa dikatakan sempat menceritakan kepada ibunya, Zaleha Muda, 51, sebelum rebah dan tidak sedarkan diri.

Berita berkaitan:

  • 3 suspek bunuh jurukimpal dicekup [METROTV]
  • Sangka jeritan jiran, rupanya anak [METROTV]
  • Sempat cerita pada ibu sebelum ajal
  • Disiarkan pada: July 8, 2020 @ 1:01pm
    d