mutakhir

Sempat selamatkan diri sebelum kereta hangus

Oleh Nur Izzati Mohamad

DUA kereta musnah, manakala sebuah lagi terbakar 50 peratus dalam kebakaran di kawasan parkir di Flat Taman Bagan, Butterworth, hari ini.

Kejadian pada 9.43 pagi itu disedari seorang lelaki berusia 38 tahun yang terhidu bau petrol ketika ingin menghidupkan kereta Hyundai Elantra miliknya, yang diparkir di sebelah kereta Perodua Kelisa.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy berkata, bagaimanapun, mangsa ternampak api menyambar kereta Perodua Kelisa, lalu keluar menyelamatkan diri.

"Mangsa memaklumkan terbau petrol sebelum masuk dalam keretanya dan mencari kesan tumpahan minyak di bawah kenderaannya namun tiada kesan.

"Namun, selepas cuba menghidupkan enjin kereta, api menjulang dari kereta Perodua Kelisa, sebelum menyambar kereta milik mangsa dan sebuah lagi kereta Volkswagen," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Noorzainy berkata, tiada kemalangan jiwa dalam kejadian itu.

Beliau berkata, siasatan awal pihak bomba belum dapat mengesahkan sama ada kejadian itu ada unsur jenayah atau sebaliknya.

Katanya, siasatan lanjut masih diteruskan untuk mengetahui punca kebakaran itu.

Disiarkan pada: July 8, 2020 @ 3:28pm
d