mutakhir

IJN hospital pertama di luar AS hasilkan Micra AV

Oleh Redzuan Muharam

INSTITUT Jantung Negara (lJN) melangkah setapak ke hadapan apabila menjadi hospital pertama dalam dunia di luar Amerika Syarikat (AS) yang menjalankan kajian klinikal sehingga terhasilnya alat keseragaman perentak jantung perlahan dinamakan Micra AV.

Dibangunkan oleh Medtronic, Micra AV berbeza dengan perentak jantung dicipta sebelum ini kerana saiznya lebih kecil dan tidak mempunyai wayar yang membolehkan prosedur rawatan dijalankan dalam tempoh lebih singkat.

Pengarah Klinikal Intervensional Elektrofisiologis dan Peralatan Implan IJN Dr Azlan Hussin selaku ketua projek berkata, kajian klinikal untuk membangunkan alat berkenaan dijalankan sejak 2017 dan mendapat kelulusan pada Januari lalu .

Menurutnya, alat itu mula diuji keberkesanannya pada Mac lalu dan sehingga semalam, enam pesakit sudah menjalani prosedur rawatan itu.

"Alat ini dicipta khusus untuk rawatan penyakit jantung perlahan dan kelebihannya adalah pesakit tidak perlu menjalani pembedahan seperti kebiasaannya.

"Tempoh prosedur rawatan juga lebih singkat iaitu daripada 15 hingga 45 minit bergantung keadaan jantung.

"Selepas menjalani prosedur rawatan, pesakit akan dipantau sebelum dibenarkan pulang keesokannya jika tiada komplikasi. Kemudian, mereka akan datang ke IJN untuk membuat pemeriksaan seperti biasa sebagai pesakit jantung perlahan," katanya kepada pemberita pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Micra AV di Auditorium Blok B, IJN di Kuala Lumpur, hari ini.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif IJN, Datuk Dr Aizai Azan Abdul Rahim, Ketua Pegawai Klinikal lJN, Dr Hasri Samion dan Pengurus Perniagaan Serantau CRHF Medtronic, Fong Woei Hann

Dr Azlan berkata, di sebalik kelebihan itu, ada beberapa cabaran dihadapi ketika mengendalikan Micra AV dalam prosedur rawatan .

Katanya, salah satunya adalah kemungkinan risiko komplikasi jadi lebih tinggi terhadap pesakit terutama yang menghidap penyakit kronik.

"Tempoh prosedur tetap sama cuma cabarannya adalah jika jantung pesakit bukan pada kedudukan biasa mungkin kerana pernah menjalani pembedahan atau mereka yang melakukan dialisis akibat menghidap penyakit buah pinggang.

"Selain itu, risiko adanya komplikasi sewaktu prosedur juga meningkat jika umur pesakit sudah lanjut misalnya yang 85 hingga 90 tahun.

"Namun, ini bukan bermakna mereka tidak disyorkan menggunakan Micra AV cuma prosedur rawatan sebegini dijalankan mengikut keperluan dan bukannya permintaan.

"Secara purata, IJN sudah menjalankan prosedur rawatan antara 500 hingga 600 kes saja untuk pesakit jantung perlahan ," katanya.

Sementara itu, Dr Aizai dalam ucapannya menzahirkan penghargaan kepada Dr Azlan bersama pasukan atas inisiatif sejak awal sehingga terhasilnya Micra AV yang akan memberi manfaat kepada ramai pesakit .

"Kejayaan ini menaikkan lagi semangat kita untuk memperbaiki kehidupan lebih ramai pesakit jantung.

"Malah, saya berbangga melihat kumpulan profesional IJN yang terus menunjukkan kecemerlangan dalam tugasan walaupun berdepan cabaran," katanya.

Disiarkan pada: July 8, 2020 @ 3:53pm
d