mutakhir

Solat sunat Aidiladha dibenarkan

Oleh Mohd Amin Jalil

NEGERI Sembilan membenarkan solat sunat Aidiladha diadakan di semua masjid dan surau di seluruh negeri namun perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, jumlah jemaah yang dibenarkan berdasarkan had kapasiti keluasan ruang dewan solat dengan mengambil kira SOP yang menetapkan jarak satu meter antara jemaah.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan berkata, semua individu yang ingin menunaikan solat sunat Aidiladha akan diminta mendaftarkan diri menerusi dalam talian seperti dipraktikkan pada solat Jumaat.

"Pendaftaran dalam talian ini penting bagi membolehkan pihak pengurusan masjid dan surau dapat membuat persiapan lebih awal dari segi bilangan jemaah yang akan bersolat.

"Ini juga akan membantu ahli jawatankuasa masjid dan surau menyediakan tempat kerana kita yakin dan percaya solat Aidiladha kali ini akan membabitkan limpahan ahli jemaah selepas mereka tidak berpeluang menunaikan solat Aidilfitri," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan EXCO di Bilik Gerakan Wisma Negeri, di Seremban, hari ini.

Difahamkan, pendaftaran dalam talian bagi masjid dan surau yang ingin mengadakan solat sunat Aidiladha akan dibuka seminggu sebelum Hari Raya Aidiladha yang dijadualkan 31 Julai ini.

Disiarkan pada: July 8, 2020 @ 4:39pm
d