mutakhir

Guru wanita rugi RM333,000

Oleh Zuliaty Zulkiffli

GURU wanita berputih mata apabila kerugian RM333,000 dipercayai terpedaya dengan Macau Scam, kononnya terbabit dalam sindiket pengedaran dadah dan menghasilkan wang secara haram.

Akibat terlalu takut kes itu serius dan malu jika diketahui pihak sekolah, guru berusia 51 tahun itu tanpa usul periksa membuat pembayaran RM333,000 melalui 37 transaksi ke empat akaun berbeza dari 29 Jun hingga 3 Julai lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Kedah, Superintendan Elias Omar berkata, mangsa berusia 51 tahun yang juga guru di sebuah sekolah di Changlun menerima panggilan daripada individu tidak dikenali pada 29 Jun lalu.

Beliau berkata, suspek yang mendakwa dari Pos Malaysia memaklumkan mangsa menghantar parcel mengandungi kad pengenalan serta kad bank miliknya.

"Panggilan kemudian disambung kepada seorang lelaki menggelarkan diri Inspektor Mazlan kononnya dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Seremban menggunakan talian 06-7682222.

"Suspek memaklumkan mangsa terbabit dalam sindiket pengedaran dadah dan juga menghasilkan wang secara haram," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Elias berkata, mangsa seterusnya disambungkan kepada seorang lelaki yang mendakwa sebagai Inspektor Chong menawarkan diri untuk membantu mangsa dalam kes terbabit.

Katanya, pada hari sama, suspek meminta mangsa membuat bayaran bagi menyelesaikan kes berkenaan.

"Mangsa kemudian membuat pembayaran RM333,000 ke dalam empat akaun secara berperingkat sebanyak 37 kali.

"Ia adalah kerugian tertinggi direkodkan bulan ini di Kedah," katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, pada 6 Julai, mangsa sekali lagi menerima panggilan daripada lelaki tidak dikenali dan memaklumkan mangsa disabitkan kesalahan oleh pihak mahkamah, dan diminta memasukkan wang sebanyak RM100,000 untuk jaminan.

Elias berkata, mangsa mulai curiga dan menyedari sudah ditipu menyebabkan dia membuat laporan polis.

Beliau berkata, kes disiasat Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

"Justeru, kami menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya sekiranya menerima panggilan daripada pihak tidak dikenali yang mendakwa penguat kuasa, semak dulu kesahihan mereka," katanya.

Disiarkan pada: July 8, 2020 @ 4:43pm
d