mutakhir

Covid-19: Pesakit terakhir Kluster Sri Petaling sudah pulang

Oleh Rafidah Mat Ruzki

SELEPAS tiga bulan 20 hari berada di hospital, termasuk dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), pesakit terakhir dari Kluster Srti Petaling akhirnya dibenarkan pulang ke rumah pada 6 Julai lalu, sekali gus menamatkan kluster terbesar jangkitan Covid-19 di negara ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata lelaki berusia 83 tahun berasal dari Batu Pahat, Johor itu, yang juga dari generasi pertama Kluster Sri Petaling, pertama kali mempunyai simptom pada 9 Mac lalu sebelum dimasukkan ke Hospital Permai, Johor pada 16 Mac lalu.

Beliau berkata, kes ke-799 itu dikesan dalam sub kluster majlis perkahwinan Bandar Baharu Bangi, yang mencatatkan sebanyak 159 kes.

"Beliau dimasukkan ke Hospital Permai, Johor, pada 16 Mac 2020. Selepas dikesan positif pada keesokan harinya, beliau dipindahkan ke Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom, Kluang.

"Semasa berada di hospital itu, beliau dimasukkan ke ICU dan discaj dari ICU pada 21 Jun 2020.

"Beliau disahkan sembuh dan discaj pada 6 Julai 2020 tetapi ia hanya dimaklumkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada 7 Julai lalu (semalam)," katanya pada sidang media COVID-19, di sini, hari ini.

Pada masa sama, Dr Noor Hisham berkata, pesakit terakhir dalam Kluster Sri Petaling dikesan pada 11 Julai lalu membabitkan kes ke-8,367.

Beliau berkata, kes terakhir itu membabitkan seorang warga Filipina yang juga pelajar di sebuah madrasah di Sungai Lui, Hulu Langat iaitu dalam sub kluster Sungai Lui yang mencatatkan sebanyak 211 kes.

"Kontak rapat sub kluster ini ditempatkan di Institut Latihan Islam Malaysia.

"Saringan ulangan mendapati beliau positif tetapi tidak menunjukkan sebarang gejala. Beliau dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh dan sembuh pada 24 Jun 2020," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: July 8, 2020 @ 7:03pm
    d