mutakhir

Penempatan padat punca jangkitan warga asing

Oleh Saipul Adli Mohamad; Yusmizal Dolah Aling dan Hafidzul Hilmi Mohd Noor

PENEMPATAN warga asing padat menjadi antara faktor terdapat penularan kes dan jangkitan membabitkan golongan terbabit di negara ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, perkara itu sudah dibincangkan bersama Kementerian Sumber Manusia agar penempatan pekerja asing lebih terurus.

Beliau berkata, ia merangkumi aspek kebajikan seperti pemeriksaan kesihatan kepada mereka untuk memastikan pekerja asing bebas daripada jangkitan wabak itu.

"Pada 1 September ini, penguatkuasaan akan dijalankan dan majikan dimaklumkan mengenai keperluan penempatan lebih baik.

"Kita melihat kepada mereka yang tidak mempunyai dokumen dan tinggal bersama dengan mereka mempunyai dokumen. Mungkin seorang daripada mereka terkena jangkitan, ia akan menjangkiti yang lain juga," katanya pada sidang media harian Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, perkara sama berlaku kepada 285 pendatang asing mempunyai dokumen dan sebaliknya yang menyertai perhimpunan tabligh di Masjid Sri Petaling dan bekerja di pasar borong.

"Kita dapati ia menjadi punca penyebaran wabak di situ dan kita cegah penularan dengan mengadakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dan asingkan mereka yang positif dan kuarantin mereka yang terdedah.

"Jadi hari ini, kita berjaya kawal penyebaran di pasar borong. Paling penting kita mahu hentikan rantaian itu," katanya.

Disiarkan pada: July 8, 2020 @ 7:19pm
d