mutakhir

Lelaki maut diseret kereta rakan yang mabuk

Oleh Norsyazwani Nasri

SEORANG lelaki maut selepas diseret rakannya yang mabuk sejauh 30 meter dengan kereta di Jalan Pasar Baru, Mukah, awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 2.10 pagi, mangsa berusia 48 tahun dari Kampung Baru Cina, Dalat yang mengalami kecederaan di kepala disahkan meninggal dunia pada jam 9.15 pagi ketika mendapat rawatan di Hospital Mukah.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Superintendan Alexson Naga Chabu berkata, sebelum itu, kedua-dua mereka bersama-sama mengambil minuman keras.

"Mangsa bersama rakannya berusia 52 tahun minum minuman keras di lokasi lain.

"Mangsa keluar dari kedai minum terbabit lebih awal setelah kedua-duanya mabuk dan rakannya masih minum seorang diri," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, apabila rakannya itu pergi ke lokasi kejadian, dia terjumpa dengan mangsa di sebuah kedai di situ.

"Mereka menyambung kembali perbualan di hadapan kedai itu selama beberapa minit.

"Semasa rakannya itu hendak meneruskan perjalanan, dia tidak sedar mangsa masih berada di hadapan kereta membuatkan mangsa diseret sejauh 30 meter," katanya.

Alexson berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Disiarkan pada: July 8, 2020 @ 8:50pm
d