mutakhir

Nazrin syak bekas isteri terbabit kejadian pecah rumah

Oleh BERNAMA

PEGAWAI Eksekutif (CEO) Cradle Fund, arwah Nazrin Hassan didakwa mengesyaki bekas isterinya terbabit dalam kejadian pecah rumahnya sekitar 2015.

Perkara itu dipersetujui oleh saksi pendakwaan ke-25 iaitu bekas pemandu peribadi Nazrin ketika menjawab soalan balas peguam bela Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

Ahmad Edree Abdul Rashid, 43, berkata, Nazrin mengesyaki bekas isterinya bernama Iza terbabit dalam kes itu, berdasarkan kesan contengan gincu pada katil selain tiada kesan pintu atau tingkap rumahnya itu dipecahkan.

"Saya melihat ada kesan contengan lipstick (gincu) bila masuk ke bilik utama rumah itu dan contengan itu dikesan berlaku pada waktu sama kejadian rumah (Nazrin) dipecah masuk," katanya ketika prosiding bicara hadapan Hakim Datuk Ab Karim Ab Rahman.

Terdahulu, Muhammad Shafee bertanyakan sama ada Ahmad Edree bersetuju Nazrin mengesyaki bekas isterinya, Iza, terbabit dalam kejadian pecah rumah itu.

Ia berdasarkan mesej Nazrin menerusi aplikasi WhatsApp kepada seorang rakannya bernama Jaya.

Muhammad Shafee: Dalam mesej arwah (Nazrin) itu, arwah bertanya rakannya jika ada mengenali mana-mana SB (Unit Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia) kerana ingin menyiasat berhubung kes (pecah masuk) itu yang mana arwah syak bekas isterinya terbabit. Adalah anda setuju bahawa arwah syak isterinya dalam kejadian itu?

Ahmad Edree: Ya. Setuju.

Muhammad Shafee: Adakah anda setuju contengan gincu merah terang pada katil dan dinding katil bukan milik Samirah (Muzaffar). Samirah tidak pakai warna itu sebab tidak sesuai dengannya.

Ahmad Edree: Ya. Setuju.

Ahmad Edree turut mengakui beliau mengetahui sejumlah wang tunai, barang kemas milik dan pasport antarabangsa milik Nazrin hilang dalam kejadian pecah masuk itu selepas dimaklumkan sendiri oleh arwah.

Ahmad Edree turut memberitahu mahkamah bahawa rumah yang diduduki bekas majikannya itu pernah berlaku kejadian pelik, selain Samirah turut menemui kayu gaharu dan garam di bawah kerusi kereta dipandunya (Ahmad Edree).

"Saya pernah melihat pintu pagar automatik rumah itu (rumah Nazrin) terbuka dan tertutup dengan sendiri. Saya juga dimaklumkan (oleh Nazrin) bahawa Samirah menemui kayu gaharu dan garam di bawah kerusi kereta yang dipandu oleh saya.

"Tetapi saya tidak bersetuju bahawa Iza yang melakukannya (meletakkan kayu gaharu dan garam) kerana Iza tidak mempunyai peluang untuk berbuat begitu," katanya.

Ahmad Edree berkata demikian ketika menjawab soalan Muhammad Shafee bahawa bekas isteri Nazrin, cuba melakukan perkara tidak baik terhadap Nazrin, secara halus.

Isteri Nazrin, Samirah Muzaffar, 45, dan dua remaja lelaki, masing-masing berusia 17 dan 14 tahun, serta seorang wanita Indonesia yang masih bebas, Eka Wahyu Lestari, didakwa membunuh Nazrin di sebuah rumah di Mutiara Damansara antara 11.30 malam 13 Jun 2018 dan 4 pagi 14 Jun 2018.

Perbicaraan bersambung esok.

Disiarkan pada: July 8, 2020 @ 9:10pm
d