mutakhir

Rimas ancaman anjing liar

Oleh Amirul Aiman Hamsuddin

"SEBELUM ini, kumpulan anjing liar terbabit memasuki reban ayam saya sebanyak lima kali. Bukan seekor anjing, sebaliknya ada kalanya sehingga enam dan tujuh ekor."

Itu luahan pengusaha ternakan ayam kampung, Hasim Kamarudin, 35, yang menjalankan kegiatan itu di Jalan Sungai Lias Baroh, Sungai Besar, Sabak Bernam.

Beliau berkata, anjing liar itu mungkin datang dari kawasan hutan dan taman perumahan berhampiran reban ternakan ayamnya.

"Ia biasanya datang awal pagi. Dalam kejadian 4 pagi tadi, saya sedang tidur sebelum terdengar bunyi bising dari reban ternakan.

"Saya keluar dan terkejut apabila 40 ayam kampung mati bergelimpangan manakala kumpulan anjing liar itu melarikan diri," katanya ketika ditemui.

Hasim yang menjual ayam sejak enam tahun lalu berkata, dia kerugian RM1,000 ekoran kejadian itu kerana ayam itu sepatutnya dijual kepada pelanggan pada Hari Raya Aidiladha nanti.

Katanya, dia berharap pihak berwajib mengambil tindakan tegas bagi menangani masalah anjing liar terbabit.

Sementara itu, rakannya yang juga pengusaha ternakan arnab, Nor Faizal Rahim, 32, berkata, dia turut mengalami kejadian sama apabila 20 arnab miliknya digigit anjing liar, dua bulan lalu.

"Saya ingatkan kejadian ini sudah berakhir, malangnya ia berulang kembali dan kali ini terjadi kepada rakan saya sendiri," katanya.

Disiarkan pada: July 8, 2020 @ 9:56pm
d