mutakhir

Maut tersepit di bawah kereta

Oleh Zuliaty Zulkiffli

SEORANG pejalan kaki maut selepas dirempuh kereta di Tanjung Charlie, Alor Setar, hari ini.

Dalam kejadian 4.30 petang tadi, mangsa iaitu lelaki berusia 70-an meninggal dunia di tempat kejadian dan tersepit di bawah kereta Toyota Camry itu manakala pemandu kereta berusia 30-an tidak cedera.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Setar, Superintendan Mohd Redzuan Salleh mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

Beliau berkata, mangsa dipercayai meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan serius dialami.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

"Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk dibedah siasat," katanya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kemalangan itu pada 4.30 petang.

Beliau berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Raja yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) Amir Hashim tiba di lokasi jam 4.43 petang.

"Mangsa yang tersepit di bawah kereta berjaya dikeluarkan menggunakan beg udara.

"Mangsa yang tidak mempunyai pengenalan diri disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan sebelum mayatnya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Disiarkan pada: July 8, 2020 @ 10:29pm
d