mutakhir

Lesen perniagaan untuk warga Malaysia sahaja: MPJL

Oleh Abnor Hamizam Abd Manap

MAJLIS Perbandaran Jempol (MPJL) terus mengekalkan polisi tidak mengeluarkan lesen perniagaan kepada warga asing.

Yang Dipertua MPJL Raja Norazli Raja Nordin berkata, lesen perniagaan hanya dikeluarkan kepada warganegara Malaysia sahaja.

Katanya polisi yang diamalkan sejak dahulu itu masih dikekalkan bagi memboleh penduduk tempatan diberi keutamaan dalam menjalankan aktiviti perniagaan.

" Lesen perniagaanjuga tidak dikeluarkan kepada mereka yang bertaraf penduduk tetap termasuk warga asingyang berkahwin dengan penduduk tempatan, sama ada suami atau isteri.

" Tindakan penguatkuasan sehingga pembatalan lesen boleh diambil jika lesen disewakan ( pindah milik) kepada orang lain tanpa kebenaran MPJL," katanya ketika dihubungi NSTP.

Raja Norazli berkata pihaknya akan memastikan setiap permohonan dibuat dengan teliti bagi memastikan mereka yang layak memohon lesen perniagaan.

Katanya MPJL sebelum ini tidak meluluskan permohonan beberapa individu yang dikesan memberi maklumat mengelirukan termasuk menggunakan nama pasangan warganegara bagi memohon lesen perniagaan.

" Kita akan kekal tegas dengan polisi ini bagi memberi peluang penduduk tempatan yang layak untuk menjalankan perniagaan di daerah ini sama ada dipremis milik MPJL atau milik mereka sendiri," katanya.

Sementara itu dalam perkembangan lain, Raja Norazli berkata pembaharuan lesen perniagaan bagi tahun 2021 yang bermula 16 Novemberhingga 31 Disember 2020, orang ramai disaran untuk hadir awal ke pejabat MPJL bagi mengelakkan kesesakan.

Katanya denda minimum 10 kali ganda kadar lesen tahunan atau RM2, 000 mengikut Seksyen 3(ii) Bayaran Denda Lewat (Lesen) MDJL 2012 akan dikenakan sekiranya gagal memperbaharui lesenpada tarikh yang ditetapkan.

#kw,mpjl,lesenperniagaan,penduduktempatan

From: Abnor Hamizam

Disiarkan pada: July 9, 2020 @ 10:50am
d