mutakhir

Tambah 27 tren untuk laluan LRT Kelana Jaya

Oleh Ruwaida Md Zain

PRASARANA Malaysia Berhad akan menambahkan 27 set tren baru empat gerabak Bombardier Innovia Metro 300 atau KLAV 27 bagi kegunaan LRT laluan Kelana Jaya.

Pengerusi Kumpulan Prasarana, Datuk Sri Tajuddin Abdul Rahman berkata, penambahan KLAV 27 itu mampu memendekkan masa menunggu dalam tempoh dua hingga tiga minit sahaja pada waktu puncak.

"Kekerapan ini bagi memastikan tren pada tahap yang optima... selaras dengan misi Kumpulan Prasarana untuk terus menggalakkan rakyat Malaysia menggunakan pengangkutan awam.

"Penambahan tren itu diperlukan untuk mengekalkan keselesaan penumpang laluan itu yang meningkat antara tujuh hingga sembilan peratus.

"Kita jangka dua tren KLAV 27 dijadualkan akan dihantar ke depoh LRT laluan Kelana Jaya selewat-lewatnya hujung tahun ini dan selebihnya secara berperingkat sehingga 2023," katanya selepas lawatan ke pusat pembuatan tren LRT di kilang pengeluaran HARTASUMA, Taman Perindustrian Pulau Indah, Pelabuhan Klang, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Urusan HARTASUMA Datuk Dr Abdul Rahman Abdul Halim.

Tajuddin berkata, KLAV 27 mempunyai beberapa ciri penambabaikan termasuk sistem baharu paparan peta digital yang diintegrasikan dengan sistem pintu (sebelum ini berjenis LED) dan penambahbaikan sistem pengurusan tren (TMS), status Sistem Informasi Penumpang bagi setiap gerabak serta penambahbaikan sistem 'air diffuser' bagi mengelakkan kondensasi untuk keselesaan pengguna.

Katanya, bagi projek ini, BHC akan menjalankan memasangan bahagian bogi di Malaysia bagi 19 tren set yang terakhir.

"Pemasangan bogi ini penting bagi proses pemindahan teknologi dan menggalakkan pembangunan pengetahuan yang strategik," katanya.

Projek KLAV 27 ini akan dibangunkan secara 35 peratus oleh pihak tempatan dalam usaha mengurangkan kebergantungan kepada sumber luar.

"Ini termasuk kerja-kerja pemasangan dalaman tren, ujian tren statik dan perolehan tempatan seperti sistem lantai, panel, lampu, dan 'stanchion' (sistem pemegang di dalam tren)," katanya.

Disiarkan pada: July 9, 2020 @ 1:20pm
d