mutakhir

Trauma dua kaki digilis traktor

Oleh Ahmad Rabiul Zulkifli

"SAYA masih dapat rasakan kesakitan ketika kaki digilis tayar dan dilibas kipas pemotong rumput traktor, saat itu hanya fikir tentang mati atau kedua-dua kaki putus," kata Asrul Jasman Jamaludin, 42.

Lelaki dari Kampung Undang, Kuala Terengganu itu patah kedua kaki digilis traktor selepas kenderaan yang dinaikinya melalui kawasan berlopak hingga menyebabkan dia tercampak sebelum digilis kenderaan itu dalam kejadian pada 30 Jun lalu.

Kecederaan yang dialaminya itu menyebabkan dia kini terlantar di rumah seterusnya kehilangan punca pendapatan untuk menyara isteri, Noor Manika Omar, 41, dan empat anak berusia antara lima hingga 14 tahun.

Asrul Jasman berkata, kejadian itu sangat pantas dan dia tidak menjangka akan terpelanting dari atas traktor sebaik traktor yang dipandu rakan sekerjanya melalui jalan tidak rata di padang golf di bandar raya terbabit.

"Saya baru sahaja mula berkerja pada awal Jun lalu selepas tidak dapat berbuat demikian susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Baru sahaja bersemangat untuk berkerja semula dan mengumpul wang buat keluarga namun terpaksa melalui ujian berat ini pula.

"Bagaimanapun, saya tetap bersyukur kerana hanya patah kaki sahaja dan berpeluang untuk pulih walaupun mungkin mengambil masa lebih enam bulan," katanya ketika ditemui hari ini.

Menurutnya, kini isterinya terpaksa menggalas tanggungjawab sebagai ketua keluarga dan berkerja sebagai pembantu kedai untuk menampung perbelanjaan keluarga.

"Buat sementara waktu ini, isteri perlu berkerja dan pada masa sama menjaga saya. Memang sedih mengenangkan beban terpaksa dipikul isteri tetapi apa boleh buat saya sekarang hilang upaya.

"Saya perlu bersemangat untuk isteri dan anak-anak supaya cepat pulih dan kembali berkerja seperti biasa.

"Jika ikutkan hati saya mahu membuang simen pada kaki yang patah itu dan berkerja seperti biasa tetapi saya tidak mampu," katanya.

Menurutnya, dia berharap ada pihak yang prihatin akan nasibnya dan keluarga dan tampil membantu.

"Setakat ini tiada pihak yang datang menjenguk dan saya tidak menyalahkan mereka kerana mungkin mereka terlepas pandang.

"Namun dalam keadaan saya sekarang yang tidak boleh berkerja selain anak-anak pula masih bersekolah, kami sekeluarga memang harapkan simpati semua pihak untuk datang membantu," katanya.

Sementara itu, Noor Manika berkata, dia bersyukur kerana suaminya hanya mengalami patah kaki dan tidak membabitkan nyawa.

"Jika ikut kejadian, suami boleh maut akibat digilis traktor itu tetapi umur suami masih panjang.

"Suami masih trauma dengan kejadian itu dan tidak boleh melihat traktor kerana terkenangkan kejadian ngeri yang menimpanya.

"Sekarang saya yang perlu menguruskan keluarga dan berkerja dengan pendapatan tidak seberapa untuk menampung perbelanjaan keluarga," katanya.

Disiarkan pada: July 9, 2020 @ 1:46pm
d