mutakhir

Sungei Undey 'kampung' buaya

Oleh Mohd Roji Kawi

SUNGAI Undey di Pusa, lokasi seorang penebang pokok rumbia yang masih hilang selepas diserang buaya Khamis lalu, dikenal pasti didiami lebih 300 reptilia ganas itu.

Sumber dari Sarawak Forestry Corporation (SFC) berkata, berdasarkan bancian tiga tahun lalu, sebanyak 30 buaya bersaiz besar dan 300 bersaiz kecil dikenal pasti mendiami sungai berkenaan.

Justeru, peluang menemui mangsa Sarkawi Talip, 61, dalam keadaan selamat tipis, selepas operasi mencari dan menyelamat (SAR) memasuki hari kelapan, hari ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berkata, operasi diteruskan hari ini bermula pada jam 9.30 pagi.

Beliau berkata, pencarian tertumpu pada radius lima kilometer ke hulu Sungai Undey serta masuk ke anak sungai dan enam kilometer ke muara dari pusat kawalan bomba (PKB).

"Operasi pencarian di kawasan tebing anak Sungai Undey dibuat dalam 50 meter kiri dan kanan, namun setakat hari ini kawasan anak Sungai Undei serta tebingan anak sungai dijalankan operasi SAR tetapi masih belum menjumpai apa-apa petunjuk.

"Mengikut maklumat dari SFC, terdapat banyak buaya sudah dikesan di sungai berkenaan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mangsa dikhuatiri dibaham buaya ketika bersama tiga lagi rakannya mengambil pokok rumbia di sungai berkenaan, Khamis lalu.

Kejadian itu disedari rakannya yang ternampak mangsa disambar dan diheret oleh seekor buaya ke hulu sungai.

Sejurus menerima maklumat berhubung kejadian itu, sepasukan empat anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Betong melancarkan operasi SAR.

Mereka turut dibantu lima anggota polis, enam anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta 20 penduduk kampung dengan 13 bot digunakan dalam operasi berkenaan.

Kejadian itu bukan yang pertama di Sungai Undey, kerana pada 9 Mac 2017, seorang penebang rumbia Besimilah Rajali, 36, terkorban diserang reptilia ganas itu.

Disiarkan pada: July 9, 2020 @ 2:53pm
d