mutakhir

Padah jual telur penyu

Oleh Melvin Joni

KUCHING: Seorang tukang cuci didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas kesalahan memiliki 438 biji telur penyu, dipercayai untuk dijual.

Jumlah telur penyu yang dimiliki secara haram oleh lelaki itu juga adalah yang terbesar pernah dirampas oleh Sarawak Forestry Corporation (SFC).

Hakim Mohd Taufik Mohd @ Mohd Yusoff menjatuhkan hukuman terhadap Mohd Faizal Yakub, 27, yang mengaku bersalah mengikut Seksyen 29(1), Ordinan Perlindungan Hidupan Liar 1998 dan dihukum mengikut Seksyen 29(1)(c), akta yang sama.

"Setelah meneliti fakta kes, mengambil kira kepentingan awam serta berat kesalahan yang dilakukan dan menerima pengakuan bersalah tertuduh, mahkamah menetapkan tertuduh didenda RM10,000 atau sebulan penjara jika gagal membayar denda," katanya ketika menjatuhkan hukuman.

Lelaki itu didakwa memiliki sejumlah telur penyu tanpa izin dari Pengawal Kehidupan Liar pada 7 September 2019, jam 3.04 petang di sebuah Pasar Tamu Kubah Ria di sini.

Berdasarkan fakta kes, sepasukan anggota penguatkuasa SFC sedang melakukan pemeriksaan di pasar itu dan mendapati tertuduh gagal menunjukkan pemilikan yang sah ke atas telur penyu tersebut.

Sebelum dijatuhkan hukuman, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu supaya tidak dikenakan hukuman berat kerana dia adalah sumber utama keluarga dan bertanggungjawab memberi nafkah kepada seorang anak serta ibunya yang uzur.

Pegawai Pendakwa dari SFC, Anisa Fadhillah Mohamed Jamel bagaimanapun memohon mahkamah mengambil kira beberapa faktor sebelum menjatuhkan hukum supaya ia dapat dijadikan pengajaran oleh tertuduh dan orang awam.

Menurutnya, tertuduh melakukan kesalahan memiliki telur penyu dari spesies Cheloniidae, yang dilindungi dan disenaraikan di bawah Bahagian 1 Jadual 1 di bawah Ordinan Perlindungan Hidupan Liar 1998.

"Telur yang dimiliki juga adalah jumlah terbesar yang pernah pihak kami rampas.

"Tertuduh juga didapati mempunyai niat untuk menjualnya," katanya.

Usia tertuduh juga menunjukkan dia mampu menilai tindakan atau perbuatannya itu adalah betul atau salah.

Disiarkan pada: July 9, 2020 @ 4:06pm
d