mutakhir

Kaki tergelincir dalam tangki larutan ammonia

Oleh Amir Mamat

PEKERJA kilang cedera selepas tergelincir ke dalam tangki simpanan larutan ammonia di sebuah kilang di Kawasan Perindustrian Cheng, pagi tadi.

Kejadian 11.30 pagi itu berlaku ketika lelaki berusia 24 tahun berkenaan sedang melakukan kerja pembancuhan bahan kimia terbabit.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Soon Wee Kiang berkata, pihaknya menerima panggilan pada 11.35 pagi sebelum 13 anggota termasuk pegawai bergegas ke lokasi kejadian.

Katanya, mangsa sebelum itu melakukan kerja pembancuhan dan terdapat alat 'jig' pada mesin terbabit yang tersangkut di dalam takungan sebelum dia cuba membetulkan ke kedudukan asal.

"Mangsa tergelincir ketika melakukan kerja berkenaan dan pada ketika itu tahap kepanasan bahan kimia terbabit adalah 93 darjah selsius.

"Bagaimanapun, dia berjaya diselamatkan oleh rakannya yang menyedari kejadian dan dibawa keluar sebelum diserahkan kepada pasukan perubatan yang tiba," katanya dalam satu kenyataannya, hari ini.

Akibat kejadian itu, kaki kiri mangsa melecur sehingga paras peha dan dihantar ke Hospital Melaka untuk mendapatkan rawatan.

Disiarkan pada: July 9, 2020 @ 4:36pm
d