mutakhir

Pasang empat kamera AWAS di terowong 'berdarah' [METROTV]

Oleh Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) akan memasang empat lagi kamera Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS) di Lebuhraya PLUS berhampiran Terowong Menora, Ipoh, bagi mengurangkan jumlah kemalangan yang kerap berlaku di kawasan itu.

Ketua Pengarah JPJ Malaysia, Datuk Sri Shaharuddin Khalid, berkata, empat kamera berkenaan yang disumbangkan PLUS Malaysia Berhad akan dipasang di kedua-dua arah dan bahagian terowong berkenaan iaitu dari hala hentian Rehat dan Rawat (RnR) Sungai Perak serta dari Plaza Tol Jelapang.

Katanya, persediaan pemasangannya sudah berada di tahap akhir yang dijangka mula beroperasi pada hujung tahun ini dengan had kelajuan ditetapkan adalah 70 kilometer (km) sejam.

"Penetapan lokasi serta had kelajuan adalah berasaskan kajian oleh MIROS (Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya) serta sudah mendapat kelulusan menteri biarpun lazimnya had kelajuan dibenarkan di sepanjang lebuh raya adalah 110 km sejam.

"Penetapan had laju sedemikian adalah berdasarkan kawasan itu yang berbukit. Arahan itu sudah lama ditetapkan sebelum ini membabitkan jarak antara lima hingga tujuh kilometer sebelum sampai ke terowong berkenaan dari kedua-dua hala.

"Penambahan empat kamera itu bakal menjadikan sebanyak 22 kamera AWAS beroperasi di sepanjang lebuhraya PLUS seluruh negara berbanding 18 sedia ada," katanya dalam sidang media sempena lawatan kerjanya ke Stesen Penguatkuasa Unit Penguatkuasaan Lebuhraya (UPLR) JPJ Malaysia berdekatan Plaza Tol Jelapang, Ipoh, tadi.

Turut hadir, Ketua Kecemerlangan Operasi PLUS, Mohd Yusuf Abdul Aziz dan Pengarah JPJ Perak, Severinus Tukah.

Katanya lagi, pihaknya masih mengekalkan Pengiraan Sistem Pemberian Mata Demerit Kesalahan Jalan Raya (KEJARA) sedia ada bagi setiap kesalahan lalu lintas yang dilakukan pemandu melalui penguatkuasaan AWAS.

Beliau berkata, sehingga kini terdapat sebanyak 45 kamera AWAS dipasang di seluruh negara yang turut membabitkan pemasangan di jalan persekutuan serta negeri.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, Stesen Penguatkuasa UPLR Plaza Tol Jelapang yang mula beroperasi 1 Julai lalu dijadikan pusat kepada empat lagi stesen penguatkuasa UPLR termasuk tiga yang terdapat di sepanjang PLUS iaitu di R&R Pagoh, R&R Dengkil, dan R&R Gunung Semanggol .

Sementara itu, Ketua Kecemerlangan Operasi PLUS, Mohd Yusuf Abdul Aziz berkata pemasangan kamera AWAS di kawasan Terowong Menora diyakini dapat menurunkan kadar kemalangan memandangkan lokasi terbabit adalah lokasi panas kemalangan terutamanya membabitkan kenderaan berat.

"Rekod menunjukkan memang ada disiplin dalam kalangan pengguna jalan raya di kawasan berkenaan namun dengan pemasangan kamera ini dan kehadiran pasukan pemantau pasti akan dapat meningkatkan tahap keselamatan di laluan itu.

"JPJ melaksanakan penguatkuasaannya dan menetapkan isu teknikal serta spesifikasi manakala pihak PLUS menyediakan bekalan kuasa dan peralatan kamera AWAS," katanya.

Disiarkan pada: July 9, 2020 @ 4:38pm
d