mutakhir

Geng seleweng dan jual baja subsidi tumpas [METROTV]

Oleh Zuliaty Zulkiffli

DUA lelaki yang leka melakukan pembungkusan semula baja subsidi di sebuah gudang tidak bernombor di Kampung Jelai, Tokai di Pendang, Kedah, terkejut apabila ditahan pegawai Kementerian Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Alor Setar.

Dalam pemeriksaan jam 12.28 tengahari kelmarin, kedua-dua lelaki berusia 30-an dikatakan terkejut sebaik menyedari kehadiran anggota penguatkuasa KPDNHEP di gudang itu.

Pengarah KPDNHEP Kedah, Rae Morn Verak berkata, hasil pemeriksaan mendapati, baja subsidi yang dikhaskan untuk petani di sekitar kawasan Pendang itu dipercayai dibeli dengan harga RM20 sekilogram.

Bagaimanapun katanya, sekampit baja yang mengandungi 20 dan 25 kilogram (kg) itu kemudian dicampur menjadi kampit baja seberat 50 kg.

"Hasil siasatan juga mendapati sekampit baja yang sudah dicampur itu dijual pada harga RM100. Ini bolehkan suspek memperoleh keuntungan lumayan.

"Berikutan itu, kami merampas 122,060 kg bersubsidi di gudang berkenaan untuk tindakan lanjut. Kami percaya kegiatan penyelewengan itu sudah lama dilakukan tetapi kita baru mendapat maklumat," katanya.

Rae Morn berkata, pemeriksaan juga mendapati baja sebatian yang disita itu membabitkan 255 beg (20kg) keseluruhannya berjumlah 5,100 kg, baja sebatian 420 beg (25kg) 10,500 kg, baja urea 4, 423 beg (20kg) 88,460 kg dan baja urea 350 beg (50kg) 18,000 kg.

"Siasatan turut dilakukan untuk mengesan dari mana dia memperoleh baja subsidi berkenaan," katanya.

Rae Morn berkata, jumlah keseluruhan rampasan adalah sebanyak RM133,760.

Beliau berkata, kes akan disiasat mengikut Seksyen 20(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memindahkan, menyebabkan atau membenarkan apa-apa barang kawalan dari mana-mana premis selain dilesenkan atau membenarkan apa-apa barang kawalan disimpan di mana-mana premis selain dari premis dilesenkan atau premis yang dibenarkan oleh pengawal.

Disiarkan pada: July 9, 2020 @ 4:50pm
d