mutakhir

Kluster Syarikat Pembersihan KL diisytiharkan tamat

Oleh Saipul Adli Mohamad dan Nurul Hidayah Bahaudin

KLUSTER Syarikat Pembersihan Kuala Lumpur (KL) diisytiharkan tamat hari ini, menjadikannya antara 11 daripada 15 kluster tempat kerja yang tamat penularan Covid-19 di dalam negara.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, terdapat empat kluster masih aktif ketika ini membabitkan Kluster Tapak Pembinaan KL 2, Kluster Pedas, Kluster Syarikat Pembersihan dan Kluster Tapak Pembinaan Kuching.

"Sehingga 12 tengah hari, hari ini, seramai 10,362 orang disaring dalam semua kluster berkenaan dan daripada jumlah itu, 4,242 warga tempatan serta 6,120 warga asing.

"Jumlah keseluruhan kes positif dikesan dalam semua kluster itu adalah 722 kes membabitkan 122 warga tempatan dan 600 warga asing," katanya dalam kenyataan media di Kuala Lumpur, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, majikan dipertanggungjawab untuk memastikan pekerja mereka sentiasa mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) dan mengamalkan langkah pencegahan di tempat kerja bagi industri yang menggunakan banyak tenaga kerja termasuk dalam kalangan bukan warganegara.

Beliau berkata, majikan harus menjalankan pemantauan untuk memastikan pematuhan terhadap amalan pencegahan dalam kalangan warga pekerja.

"Ini dapat mengelakkan daripada berlakunya penularan jangkitan Covid-19 dalam kalangan warga pekerja dan seterusnya dapat mencegah penularan dalam komuniti," katanya.

Disiarkan pada: July 9, 2020 @ 6:07pm
d