mutakhir

Polis siasat dakwaan doktor pelatih dicabul pensyarah

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

POLIS sedang menyiasat dakwaan doktor pelatih lelaki yang dikatakan dicabul seorang pensyarah yang juga pengasas kepada sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pada November tahun lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa berusia 27 tahun berhubung perkara itu pada 17 Februari lalu.

"Pada awalnya, mangsa tidak mahu meneruskan tindakan selepas membuat laporan itu, namun pada 7 Julai lalu, lelaki itu meminta pihak polis untuk meneruskan siasatan.

"Menurut laporan mangsa, dia dicabul pensyarah lelaki itu di dalam bilik pejabat suspek di sebuah hospital di Kuala Lumpur pada 12 tengah hari, 4 November tahun lalu.

"Mangsa memaklumkan dia lewat membuat laporan polis kerana khuatir kerjayanya musnah memandangkan suspek adalah penyelianya selain pensyarah berkenaan adalah seorang yang berpengaruh," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, siasatan lanjut berhubung perkara itu sedang dijalankan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.

"Kami menasihatkan kepada individu yang juga mangsa kes seumpama ini supaya tampil membuat laporan bagi membolehkan siasatan dapat dijalankan terhadap pelaku dan hukuman setimpal dikenakan mengikut peruntukan undang-undang.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian sebegini boleh menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 0321159999 atau menghubungi mana-mana balai polis berhampiran," katanya.

Disiarkan pada: July 9, 2020 @ 6:50pm
d