mutakhir

8 pengedar dadah warga asing dicekup

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

POLIS menahan lapan warga asing yang disyaki terbabit dalam kegiatan pengedaran dadah dalam tiga serbuan berasingan di sekitar Cheras, kelmarin dan semalam.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon berkata, dalam serbuan pertama di sebuah kondominium di Taman Connaught, Cheras, pihaknya menahan tiga lelaki dan dua wanita Nigeria jam 10.45 malam, kelmarin.

Katanya, pemeriksaan dilakukan di kediaman itu menemukan satu plastik mengandungi serbuk disyaki dadah jenis methamphetamine seberat 369.0 gram dianggarkan bernilai RM36,000.

"Jumlah dadah yang dirampas itu mampu dibekalkan kepada 400 penagih di sekitar ibu kota.

"Semakan mendapati kelima-lima suspek berusia antara 33 hingga 37 tahun yang juga penganggur itu tidak mempunyai rekod lampau dan kesemua mereka didapati negatif dadah hasil ujian saringan air kencing dilakukan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohamed Mokhsein berkata, pihaknya turut menahan seorang lelaki warga Nigeria di Taman Connaught, Cheras jam 11.30 malam hari sama dan menemui satu paket plastik mengandungi ketulan mampat disyaki ganja seberat 20.4 gram.

"Penganggur berusia 34 tahun itu tidak mempunyai rekod lampau serta negatif dadah. Dalam kes ini, jumlah rampasan dadah dianggarkan mampu dibekalkan kepada 20 penagih di sekitar Kuala Lumpur dengan nilai rampasan RM1,000.

"Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mendapatkan maklumat punca bekalan dan pembabitan aktiviti pengedaran yang dijalankan serta kemungkinan kaitan dengan kes pertama," katanya.

Beliau berkata, dalam serbuan ketiga, pihaknya menahan seorang lelaki dan seorang wanita warga Indonesia secara berasingan selepas dipercayai terbabit dengan penemuan dadah di sebuah syarikat penghantaran di Cheras, semalam.

"Kami melakukan serbuan di sebuah syarikat penghantaran barangan di Cheras jam 2.30 petang yang membawa kepada penemuan satu kotak kiriman mengandungi 1,861 pil disyaki dadah jenis ekstasi seberat 678.0 gram dianggarkan bernilai RM55,000.

"Hasil siasatan lanjut berkaitan serbuan ini, kami menahan seorang lelaki warga Indonesia yang juga peniaga ikan berusia 37 tahun di perkarangan syarikat penghantaran terbabit.

"Seorang lagi wanita warga Indonesia yang juga peniaga dalam talian berusia 40 tahun disyaki terbabit dalam kes ini pula ditahan di sebuah rumah di kawasan Kepong pada hari sama," katanya.

Katanya, jumlah rampasan dadah dalam kes itu dianggarkan mampu dibekalkan kepada kira-kira 2,000 penagih di sekitar Kuala Lumpur.

"Siasatan berhubung ketiga-tiga kes itu dilakukan mengikut Seksyen Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 39A(1) akta sama dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63," katanya.

Disiarkan pada: July 9, 2020 @ 7:39pm
d