mutakhir

10 kedai runcit disita, 30 warga asing ditahan

Oleh Omar Ahmad

SEPULUH kedai runcit disita manakala 30 pekerja asing ditahan dalam operasi khas membabitkan pendatang asing yang menjalankan perniagaan dan mengaji pekerja asing tanpa permit di kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) semalam.

Ketua Bahagian Penguatkuasa MPPG Md Sharif Idros berkata enam taman perumahan dikenal pasti menjadi tempat pekerja asing membuka pelbagai jenis perniagaan selepas tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Katanya, lokasinya ialah Taman Mawai, Taman Air Biru, Taman Cendana, Masai, Taman Pasir Putih dan Tanjung Puteri Resort.

"Kita melaksanakan operasi ini selepas mendapat aduan daripada penduduk setempat yang merasa gelisah dengan kehadiran warga asing menjalankan perniagaan di kawasan mereka.

"Objektif kita untuk pastikan semua peniaga warga asing ini tidak menjalankan perniagaan di kawasan pentadbiran MMPG.

"Sebahagian besar pekerja asing menjalankan perniagaan runcit dan membaiki peralatan elektrik. Beberapa restoran turut dikesan mengaji pekerja asing, khasnya dari Bangladesh dan Pakistan tanpa permit", katanya ketika mengetuai operasi bersama pelbagai agensi di sekitar kawasan Pasir Gudang.

Operasi bersepadu itu membabitkan 40 anggota penguatkuasa MPPG, 30 pegawai penguatkuasa Jabatan Imigresen, lima pegawai Jabatan Pendaftaran Negara, enam pegawai Jabatan kesihatan dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menurut Me Sharif, semua pekerja asing ditahan dibawa ke pejabat Imigresen untuk tindakan lanjut.

Katanya manakala majikan yang mengaji pekerja asing tanpa permit akan dikenakan tindakan mengikut Akta Imigresen selain lesen perniagaan mereka ditarik balik.

"MMPG juga akan membatalkan lesen perniagaan serta- merta yang diberikan kepada peniaga yang menyewa premis mereka kepada pekerja asing", katanya.

Disiarkan pada: July 9, 2020 @ 7:47pm
d