mutakhir

Pemandu maut diserang sakit jantung

Oleh Siti Rohana Idris

LELAKI warga emas maut selepas kenderaan yang dipandunya terbabas dan melanggar tiang laluan bertingkat di Jambatan Sultan Yahya Petra di Kota Bharu tengah hari ini.

Sebelum kejadian, mangsa yang dikenali sebagai Abdullah Mohamed, 62, dipercayai mengalami serangan jantung hingga menyebabkan kereta dipandunya terbabas salam kejadian pada 12 tengah hari.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, mangsa dalam perjalanan dari arah Pasir Pekan menghala ke bandar Kota Bharu.

"Apabila sampai di kepala Jambatan Sultan Yahya Petra melalui bawah laluan bertingkat, kenderaan yang dipandu mangsa hilang kawalan lalu memasuki lorong bertentangan dan merempuh pembahagi jalan.

"Kenderaan itu kemudiannya melanggar sebatang tiang kaki laluan bertingkat sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya ketika dihubungi hari ini.

Abdul Rahim berkata, mangsa yang berasal dari Wakaf Bharu itu kemudiannya dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian untuk proses bedah siasat

Menurutnya lagi, kematiannya disahkan disebabkan serangan jantung dan mangsa juga mengalami kecederaan parah di bahagian kepala.

Disiarkan pada: July 9, 2020 @ 8:07pm
d