mutakhir

Izzat Hazziq perlu rawatan berterusan

Oleh Mohd Amin Jalil

"SAYA dan isteri tidak akan berputus asa. Kami akan berusaha mendapatkan rawatan dan membantunya sehingga pulih," kata bapa kepada bekas pemain ragbi remaja kebangsaan, Izzat Hazziq.

Baharuddin Mohamed, 52, sejak kemalangan 2016, banyak perubahan yang berlaku kepada Izzat Hazziq, 26, hasil hasil rawatan fisioterapi yang dilakukan bersama isteri, Wan Hanizi Wan Ahmad, 50.

"Berbanding sebelum ini keadaannya agak teruk kerana hanya terlantar di katil, tetapi kini dia sudah boleh bercakap dengan jelas dan berdiri dalam tempoh singkat dengan bantuan orang lain.

"Dia memerlukan rawatan fisioterapi berterusan untuk memastikan tahap kesihatannya berada dalam keadaan lebih baik, namun kos rawatan agak tinggi.

"Doktor sendiri memberitahu bahawa Izzat Hazziq memerlukan masa sehingga tujuh tahun untuk pulih, namun rawatannya perlu dilakukan secara berterusan," katanya.

Menurutnya, disebabkan keadaan Izzat Hazziq yang tidak mampu menguruskan diri sendiri, isterinya terpaksa berhenti kerja.

Izzat mengalami lumpuh selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya pada 17 April 2016 dan kini anak sulung daripada tiga beradik itu terpaksa menghabiskan rutin hariannya di dalam rumah dan di atas kerusi roda.

Beliau ditemui selepas menerima kunjungan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Belia dan Sukan Negeri Sembilan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paroi, Datuk

Mohamad Taufek Abdul Ghani, di rumahnya di Taman Desa Melor, Senawang, di sini, hari ini.

Baharuddin berkata, Izzat adalah bekas pemain ragbi remaja kebangsaan dan pernah mewakili Negeri Sembilan pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) 2014 di Perlis selain turut beraksi bersama beberapa kelab ragbi seperti Lions, NS Wanderers dan Cobra.

Menurutnya, dia juga pernah bersaing dalam beberapa kejohanan kebangsaan dan jemputan antarabangsa yang diadakan di negara ini seperti Piala Agong dan Liga Ragbi Kebangsaan.

"Bagaimanapun impian Izzat Hazziq untuk terus beraksi tidak kesampaian berikutan tragedi yang menimpanya empat tahun lalu. Namun semangatnya terhadap sukan itu tidak pudar," katanya.

Menceritakan mengenai tragedi menimpa anaknya itu, Baharuddin berkata, kejadian berlaku ketika anaknya dalam perjalanan pulang dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Selangor ke rumah mereka di Senawang.

Menurutnya, ketika itu, Izzat menuntut dalam jurusan Diploma Sains Sukan dan motosikal ditungganginya bertembung dengan motosikal lain mengakibatkan dia parah di kepala dan koma 15 hari di Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ), Seremban.

Berita berkaitan

'Dia macam bayi'

Disiarkan pada: July 9, 2020 @ 8:25pm
d