mutakhir

Pusat cuci kereta tak berlesen, dikendali warga asing ditutup

Oleh Amirul Aiman Hamsuddin

MAJLIS Daerah Kuala Selangor (MDKS) menyita empat pusat cuci kereta yang menjalankan perniagaan tanpa lesen di Puncak Alam, Kuala Selangor, kelmarin.

Yang Dipertua MDKS Rahilah Rahmat berkata, seramai 12 anggota penguat kuasa MDKS melakukan pemeriksaan terhadap premis berkenaan di kawasan itu.

"Pemeriksaan mendapati empat premis terbabit tidak mempunyai lesen sah daripada MDKS selain dikendalikan warga asing.

"Premis terbabit diarah tutup serta-merta dan sebanyak 14 unit peralatan pembersih kenderaan seperti vakum dan 'air compressor' disita," katanya menerusi kenyataan media malam tadi.

Beliau berkata, tindakan dilakukan mengikut Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (MDKS) 2007 kerana menjalankan perniagaan tanpa lesen.

Menurutnya, semua premis turut dikenakan kompaun di bawah Undang-Undang Kecil Iklan (MDKS) 2007 kerana mempamer iklan tanpa lesen.

Dalam pada itu, Rahilah berkata, pemeriksaan sama turut mendapati terdapat pekerja asing tidak mempunyai sebarang dokumen.

"Perkara ini akan dirujuk kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Menurutnya, pihaknya sudah mengenalpasti beberapa kawasan perniagaan yang melakukan kesalahan sama dan tindakan akan dilakukan dari semasa ke semasa.

Katanya, masyarakat digalakkan untuk menyalurkan aduan berkaitan perkhidmatan MDKS secara dalam talian di selangor.spab.gov.my.

Disiarkan pada: July 10, 2020 @ 11:10am
d