mutakhir

Hamil angkara bapa kandung

Oleh Melvin Joni

POLIS menahan seorang duda selepas disyaki melakukan sumbang mahram sehingga anak kandungnya berusia 23 tahun hamil.

Ketua Polis Daerah Samarahan, Deputi Superintendan Sudirman Kram berkata, suspek ditahan di sebuah rumah di Kampung Sadong Jaya, Asajaya, semalam susulan laporan dibuat bapa saudara mangsa di Balai Polis Asajaya pada Rabu lalu.

Menurutnya, suspek yang berusia 52 tahun adalah duda kematian isteri dan bapa kandung kepada tiga anak termasuk mangsa.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati suspek mula melakukan perbuatan terkutuk terhadap mangsa ketika mereka menetap di sebuah rumah sewa di Batu Kawa pada 2016.

"Kejadian pertama berlaku apabila suspek mengajak mangsa mengadakan hubungan seks ketika mangsa berkemban ke bilik air.

"Selang dua minggu kemudian, kedua-duanya sekali lagi melakukan perbuatan itu di rumah sama sehingga ia terus berlarutan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sudirman berkata, suspek turut mengaku melakukan perbuatan sumbang mahram terhadap anaknya itu sehingga kini, dengan kali terakhir di rumah nenek mangsa di Sadong Jaya pada Februari lalu.

"Siasatan mendapati mangsa mengaku tidak datang haid sejak Mac 2020 dan tidak pernah membuat pemeriksaan di mana-mana klinik kesihatan sebelum disahkan mengandung.

"Bagaimanapun, mangsa tidak mengetahui berapa usia kandungan," katanya.

Menurutnya, suspek yang tidak mempunyai rekod jenayah lampau ditahan reman hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan.

"Mangsa dibawa ke Hospital Umum Sarawak untuk tindakan lanjut," katanya.

Sudirman berkata, jika sabit kesalahan, suspek boleh dipenjara tidak melebihi 20 tahun dan dikenakan sebatan.

Disiarkan pada: July 10, 2020 @ 12:37pm
d