mutakhir

SKMM, SMA bekerjasama tingkatkan penyambungan jalur lebar 4G di Sarawak

Oleh BERNAMA

SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mensasarkan untuk meningkatkan penyambungan jalur lebar 4G di Sarawak sehingga sekurang-kurangnya 90 peratus berbanding 71 peratus ketika ini.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, untuk tujuan itu, SKMM akan menjalinkan kerjasama erat dengan Lembaga Multimedia Sarawak (SMA).

"Dalam pertemuan ringkas dengan SMA hari ini, kita melihat bagaimana boleh melipatgandakan kerja-kerja SKMM di Sarawak khususnya dalam penyambungan jalur lebar 4G.

"Jadi selepas ini akan ada lagi perbincangan yang lebih teliti tentang cara gaya untuk mempercepatkannya selain merapatkan kerjasama di antara dengan SMA," katanya kepada wakil media selepas mengadakan lawatan dan merasmikan Pejabat MCMC cawangan Sarawak, hari ini.

Hadir sama Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia Datuk Suriani Ahmad, Ahli Lembaga SMA Tan Sri Morshidi Ghani dan Pengerusi SKMM, Dr Fadlullah Abdul Malek.

Disiarkan pada: July 10, 2020 @ 12:56pm
d