mutakhir

Menyamar polis 'pau' orang awam

Oleh Dziyaul Afnan Abdul Rahman

PENAGIH dadah yang menyamar menjadi anggota polis dan memeras orang awam di Kampung Ngulang, Mata Ayer, Kangar, akhirnya berjaya ditahan polis, semalam.

Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Nanda Maarof berkata, suspek berusia 34 tahun itu berjaya ditahan di sebuah lokasi semalam manakala seorang lagi rakannya akan ditahan dalam masa terdekat.

Menurutnya, dalam kejadian 8.30 malam Rabu lalu, suspek yang berusia 34 tahun bersama rakannya pergi ke rumah seorang lelaki berusia 26 tahun dan menuduh mangsa adalah pengedar dadah paling dikehendaki di kawasan Padang Besar.

"Mangsa menafikan tuduhan itu namun suspek berterusan mengugutnya sehingga mangsa takut. Suspek kemudian meminta RM200 sebagai wang perlindungan jika enggan ditahan.

"Namun mangsa tidak mempunyai wang yang mencukupi dan membawa kedua suspek ke rumah kenalannya pada hari yang sama bagi memberikan wang perlindungan berkenaan," katanya kepada media di ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Arau, hari ini.

Nanda berkata, sejurus sampai di rumah kenalan mangsa yang juga seorang penjawat awam, suspek diminta menunjukkan kad kuasanya namun dia enggan berbuat demikian sebelum beredar.

"Kenalan mangsa yang curiga terhadap tindakan kedua suspek terus membawa mangsa ke Balai Polis Mata Ayer bagi membuat laporan.

"Suspek kemudian ditahan dan identiti seorang lagi rakannya sudah dikenal pasti dan dia akan ditahan dalam masa terdekat.

"Hasil ujian urin ke atas suspek juga menunjukkan dia positif syabu selain mempunyai rekod jenayah berkaitan dadah dan curi serta melanggar PKP (Perintah Kawalan Pergerakan)," katanya.

Tambahnya suspek direman empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 170 dan 384 Kanun Keseksaan kerana menyamar sebagai anggota polis dan melakukan pemerasan.

Disiarkan pada: July 10, 2020 @ 3:24pm
d