mutakhir

56 mangsa ditempatkan di PPS banjir landa Batu Pahat

Oleh Essa Abu Yamin

SATU Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Maimon, Batu Pahat semalam bagi menempatkan 56 mangsa daripada 13 keluarga akibat banjir.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Batu Pahat berkata, PPS dibuka sejak 6 petang itu membabitkan penduduk di empat kawasan terjejas iaitu Kampung Parit Othman, Kampung Parit Tegak, Kampung Parit Lapis Laman dan Kampung Sentang Batu.

Kebanyakan kawasan terjejas dinaiki air sehingga 0.5 meter susulan hujan lebat berterusan sejak petang semalam.

Katanya, pemantauan masih dijalankan agensi terbabit seperti Pejabat Daerah Batu Pahat, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Katanya, agensi lain adalah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), Penghulu Mukim dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK).

Disiarkan pada: July 10, 2020 @ 3:57pm
d