mutakhir

64 saksi dipanggil inkues Nora Anne

Oleh Mohd Amin Jalil

SERAMAI 64 saksi utama dipanggil pada peringkat permulaan permohonan prosiding inkues mencari punca kematian inkues remaja Ireland Nora Anne Quoirin, yang akan didengar di Mahkamah Koroner, Seremban, mulai 24 Ogos sehingga 4 September depan.

Koroner, Maimoonah Aid menetapkan keputusan itu di mahkamah berkenaan yang bersidang hari ini, selepas Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Iskandar Ahmad, diminta memperincikan senarai saksi penting daripada 102 yang dikemukakannya, bagi mencari punca kematian remaja berkenaan.

Bagaimanapun, Muhamad Iskandar berkata, jumlah saksi itu bukan muktamad kerana ia tidak menghalang Koroner untuk menambah bilangan saksi.

"Malah, ada permintaan daripada peguam mewakili keluarga mangsa (Datuk Sankara Nair) yang bercadang membawa dua lagi saksi, termasuk seorang ahli patologi.

"Bagi kami tiada halangan dan dalam hal ini kami hanya membantu dan yang penting objektif serta hasilnya mereka (Koroner) yang tentukan," katanya ketika ditemui di perkarangan mahkamah, hari ini.

Pada pengendalian pengurusan kes 19 Jun lalu di Mahkamah Sesyen Seremban, Muhamad Iskandar memaklumkan bahawa pihaknya memiliki seramai 589 saksi membabitkan pelbagai latar belakang dan agensi.

Pada pendengaran hari ini, Koroner turut menetapkan 13 Ogos ini sebagai tarikh beliau melawat lokasi kejadian termasuk tempat penginapan dan penemuan mayat Nora Anne.

Sementara itu, Sankara Nair berkata, pihaknya bercadang membawa seorang saksi yang memiliki pengalaman dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR), namun ia bergantung kepada persetujuan saksi berkenaan.

"Dia tiada kena mengena dengan kes ini dan tidak juga terbabit dengan SAR yang dijalankan terhadap Nora Anne tetapi sekadar dapatkan perkongsian pengalaman daripadanya," katanya.

Mengenai permintaan keluarga mangsa supaya inkues berkenaan dapat dijalankan dalam bahasa Inggeris dan diadakan secara rakaman video, Sankara berkata, pihaknya berterima kasih kepada mahkamah yang bekerjasama dalam hal berkenaan.

"Saya akan memaklumkan mengenai perkara ini dan meminta pihak keluarga mangsa menguruskannya.

"Selain itu, ia juga membabitkan laporan bedah siasat kedua yang sudah dibuat dan kita akan dapatkannya," katanya.

Sankara mengakui berpuas hati dengan pemilihan Koroner bagi mengendalikan inkues berkenaan yang dilihat mempunyai pengalaman dan meneliti secara sempurna dari segi kaedah pengendalian kes berkenaan.

"Saya puas hati, Koroner dilihat ada pengalaman dan beliau berkeupayaan untuk mengendalikan kes ini dengan baik," katanya.

Sebelum ini dilaporkan keluarga remaja terbabit memohon inkues pada Disember lalu bagi mengetahui kejadian sebenarnya menimpa Nora Anne.

Keluarga ingin tahu sama ada remaja berkenaan diculik atau keluar sendiri dari pusat penginapannya.

Nora Anne, 15, bersama keluarganya tiba di Malaysia untuk percutian selama dua minggu dan mendaftar masuk di resort The Dusun Pantai Hill, Pantai dekat Seremban pada 3 Ogos tahun lalu sehari sebelum remaja itu dilaporkan hilang pada awal pagi keesokannya.

Mayat remaja itu ditemui pada 13 Ogos iaitu 10 hari selepas kehilangannya oleh pasukan sukarelawan bersama pasukan keselamatan yang menyertai SAR dalam keadaan tidak berpakaian berhampiran anak sungai di kawasan berlurah kira-kira 2.5 km dari resort itu.

Laporan awal bedah siasat mendapati kematian Nora Anne yang mengalami masalah pembelajaran tidak mempunyai unsur jenayah dan remaja perempuan itu disahkan mati akibat kebocoran usus yang berpunca kerana tidak makan untuk tempoh lama dan tekanan yang berpanjangan.

Disiarkan pada: July 10, 2020 @ 4:00pm
d