mutakhir

OKU jiwa kental [METROTV]

Oleh Redzuan Muharam

KEGIGIHAN golongan senasib mencari rezeki sebagai penghantar makanan mendorong Orang Kurang Upaya (OKU) fizikal, Syah Fandi Muhammad Karim mengikut jejak langkah mereka.

Percubaan anak kelima daripada tujuh beradik itu bermula di Perancis pada Mei tahun lalu sewaktu tinggal bersama kakaknya, Nurazimah, 44, yang menjalankan perniagaan Nasi Ayam Paris di negara berkenaan.

Kini, pengalaman yang ada digunakan pula untuk membantu ibu tirinya, Rosnani Ahmad, 53, dan bapanya, Muhammad Karim Bukhari, 68, menghantar nasi ayam dipesan pelanggan setiap hari dengan menunggang motosikal.

Menurut Syah Fandi, 35, pekerjaan sambilan itu dilakukan sejak bermulanya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan 26 Jun lalu dia menggandakan usahanya dengan mengambil upah daripada peniaga atau restoran sekitar Lembah Klang.

Katanya, pekerjaan itu mulanya dilakukan untuk mengisi lapang memandangkan pengajiannya dalam kursus jahitan di Pusat Latihan Perindustrian dan Pemulihan (PLPP) Bangi, Selangor yang ditangguhkan sejak 18 Mac lalu.

"Ikutkan, saya masih menuntut dalam kursus jahitan bermula Januari lalu tetapi pengajian terpaksa ditangguhkan kerana PKP.

"Jadi, daripada tidak melakukan apa-apa, saya gunakan masa yang ada dengan membantu ibu dan ayah menghantar makanan dipesan pelanggan.

"Mulanya, saya hanya melakukan pekerjaan itu saja tetapi kini sudah mengambil upah sebagai penghantar makanan pada sebelah petang," katanya ketika ditemui Harian Metro di Jalan Ampang, Kuala Lumpur, hari ini.

Biarpun jumlah pendapatan diterima tidak menentu, Syah Fandi tetap seronok kerana dapat memanfaatkan masa yang ada berdikari mencari rezeki serta bertemu pelanggan daripada pelbagai latar belakang.

Katanya, dia bercadang melakukan pekerjaan itu sehingga kelas dibuka semula kelak.

"Rasa gugup untuk bertemu pelanggan tetapi saya beranikan diri dan alhamdulillah, ramai mula menggunakan perkhidmatan saya.

"Sambutan semakin baik selepas saya mempromosi perkhidmatan menerusi satu hantaran di Facebook (Fb) sebelum dikongsikan rakan di laman Ustaz Ebit Lew.

"Sokongan ibu dan ayah yang membuatkan saya untuk melakukannya. Lagi pun, jika rakan OKU lain boleh , mengapa tidak saya?" katanya.

Disiarkan pada: July 10, 2020 @ 5:21pm
d