mutakhir

Pembasmian kemiskinan, peningkatan taraf hidup agenda utama

Oleh BERNAMA

PEMBASMIAN kemiskinan dan peningkatan taraf hidup rakyat akan sentiasa menjadi antara agenda utama negara, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Justeru, katanya, usaha dan inisiatif kerajaan dalam mencapai matlamat ini akan sentiasa diperkukuh dan dilipatgandakan agar pembangunan negara dapat dirasai oleh setiap rakyat, sejajar dengan matlamat Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030).

"Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) keseluruhan nasional adalah sebanyak RM2,208 sebulan bagi satu isi rumah pada 2019, berbanding RM980 sebulan pada 2016.

"Berdasarkan PGK baharu ini, kadar kemiskinan adalah 5.6 peratus bagi 2019 manakala kadar kemiskinan pada 2016 adalah 7.6 peratus," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mustapa berkata, penurunan kadar kemiskinan ini jelas menunjukkan program dan inisiatif pembasmian kemiskinan yang dijalankan oleh kerajaan dengan disokong oleh pelbagai pihak lain seperti badan bukan kerajaan dan swasta telah membuahkan hasil yang baik.

Dari semasa ke semasa, katanya, kerajaan akan melakukan penambahbaikan kaedah pengukuran kemiskinan dengan mengkaji semula metodologi penetapan PGK supaya ia lebih menggambarkan corak perbelanjaan dan keperluan serta demografi semasa isi rumah, seiring dengan kemajuan yang dicapai oleh negara sejak tahun tersebut.

Menurutnya, kajian ini telah dijalankan oleh Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri (UPE, JPM) dengan kerjasama Jabatan Perangkaan Malaysia, Kementerian Kesihatan, dan beberapa kementerian serta agensi yang berkaitan bermula Mac 2019 sehingga Jun 2020.

Hasil daripada kajian semula yang dijalankan, metodologi penetapan PGK telah ditambah baik, yang mana konsep penetapan PGK makanan diperkemaskan daripada 'minimum' kepada 'optimum minimum', dengan mengambil kira peningkatan kualiti item bakul makanan berdasarkan Piramid Makanan 2020 dan kumpulan makanan Panduan Diet Malaysia (PDM) 2020 selaras dengan aktiviti fizikal harian dan kehidupan yang sihat.

Selain itu, bagi PGK bukan makanan pula, keperluan kumpulan isi rumah berpendapatan 20 peratus terendah (B20) yang dikenal pasti telah bertambah kepada 146 item daripada 106.

Mustapa berkata, kajian semula tersebut turut mengambil kira perubahan corak perbelanjaan isi rumah, harga barangan dan perkhidmatan semasa pada 2019 berbanding 2005.

Menurutnya, selain PGK, kerajaan turut menggunakan kaedah pengukuran kemiskinan berasaskan pelbagai dimensi yang menekankan aspek peningkatan kualiti hidup seperti kesihatan, pendidikan, perumahan, taraf hidup, akses kepada maklumat, dan juga pendapatan bulanan isi rumah

Kementerian, jabatan dan agensi kerajaan termasuk kerajaan negeri digalakkan untuk mengambil maklum PGK 2019 dalam merancang dasar dan program mereka serta mengkaji semula dasar berkaitan pembasmian kemiskinan dan bantuan sosial termasuk semakan semula kumpulan sasar di bawah seliaan dan tanggungjawab mereka dalam masa lima bulan akan datang.

"Berpandukan statistik yang tepat, kerajaan akan dapat menggubal dasar dan strategi serta merangka program yang lebih sesuai, dinamik dan pragmatik untuk setiap kumpulan sasar terutamanya golongan miskin.

"Ini termasuklah dalam menyediakan Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12), 2021-2025 yang akan dibentangkan awal tahun depan," katanya.

Disiarkan pada: July 10, 2020 @ 5:35pm
d