mutakhir

Kerajaan sedia bantu B40 ceburi bidang coklat

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

KEMENTERIAN Perusahaan Perladangan dan Komoditi menyarankan orang ramai terutama golongan B40 yang kehilangan pekerjaan kerana pandemik Covid-19 terbabit dalam industri coklat dan menjadikannya sebagai kerjaya baru.

Menterinya, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, industri coklat mempunyai potensi besar dan usahawan baharu boleh meraih pendapatan antara RM2,000 hingga RM5,000 sebulan bergantung kepada kebijaksanaan mereka memasarkan produk.

Menurutnya, peluang untuk golongan berkenaan terbuka luas khususnya menerusi penganjuran kursus dalam Program Pembangunan Usahawan Coklat oleh Lembaga Koko Malaysia (LKM).

"Sebelum ini, saya menggambarkan sawit yang memberi peluang pekerjaan kita kekurangan kira-kira 30,000 pekerja di bidang penuaian sawit cuma siapa yang bersedia bekerja dalam bidang itu.

"Hari ini apabila bercakap pasal coklat, ruang serta peluang sangat terbuka luas dan kita bersedia membantu seramai mungkin usahawan untuk menjadi usahawan coklat termasuklah mereka yang berada dalam bidang lain dan mahu beralih ke bidang ini sebagai satu kerjaya baharu," katanya selepas merasmikan Kursus Asas Pembangunan Usahawan Coklat Buatan Tangan di Duyong Marina Resort di Kuala Terengganu hari ini.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Takir Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman.

Mohd Khairuddin Aman berkata, pihaknya mensasarkan untuk melahirkan lebih 100 usahawan coklat di seluruh negara sehingga akhir tahun ini menerusi penganjuran kursus berkenaan membabitkan peruntukan RM3 juta.

Katanya, program sama dijangka bakal diadakan di Pulau Pinang, Kedah, Johor dan Pahang.

"Selain itu, kita juga berharap setiap negeri di Malaysia mempunyai satu hub coklat masing-masing dalam usaha mengembangkan industri ini," katanya.

Disiarkan pada: July 10, 2020 @ 5:48pm
d