mutakhir

Nik Faisal ada di Hong Kong [METROTV]

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

BEKAS Ketua Pegawai Eksekutif SRC International Sdn Bhd Nik Faisal Ariff Kamil Nik Othman Arif Kamil yang diburu bagi membantu siasatan penyelewengan dana SRC berjumlah RM42 juta kini berada di Hong Kong.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, pihaknya sudah menulis surat kepada pihak berkuasa Hong Kong untuk membantu penahanan Nik Faisal namun maklum balas yang diterima pihaknya negatif.

"Kita sudah banyak kali buat permintaan dengan pelbagai cara, tambahan lagi kita beri butiran tertentu. Tapi maklum balas kita terima daripada mereka (polis Hong Kong) negatif.

"Itu antara kekangan kita untuk membawa balik dia (Nik Faisal)," katanya dalam sidang media khas di Bukit Aman hari ini.

Menjelaskan mengenai hubungan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan polis Hong Kong, Abdul Hamid berkata, sebelum ini kerjasama adalah amat baik terutama membabitkan kes jenayah dan komersial termasuklah penganjuran perlawanan persahabatan ragbi.

"Tetapi bagi kes ini, tidak dipastikan mengapa mereka sukar memberi kerjasama," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai lokasi terkini ahli perniagaan yang menjadi buruan, Low Taek Jho atau Jho Low, beliau berkata, perkara itu masih belum dapat dipastikan.

"Namun usaha memburunya tidak akan dilonggarkan. Saya akan berusaha. Kita akan buat sesuatu dan saya tidak akan beralah dalam kes ini kerana wang yang diambil atau dicuri ini adalah begitu besar.

"Bukan saja Jho Low, tapi empat atau lima orang lagi saya tahu. Ada yang berulang-alik dari Kemboja, Taiwan dan Thailand. Saya terus memotivasikan pasukan saya dan saya tidak akan putus asa," katanya.

Terdahulu, Nik Faisal dilaporkan meninggalkan negara pada 7 Mei 2018, manakala Jho Low pula pada 29 Mei 2015.

Susulan itu, waran tangkap terhadap Nik Faisal dan Jho Low dikeluarkan pada 22 Mei 2018 bagi mendapatkan bantuan polis antarabangsa (Interpol) menahan kedua-dua mereka.

Disiarkan pada: July 10, 2020 @ 5:57pm
d