mutakhir

Haniza dilucutkan jawatan Exco

Oleh Norzamira Che Noh

KERAJAAN negeri membuat keputusan melucutkan jawatan yang disandang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lembah Jaya, Haniza Mohamed Talha berkuat kuasa esok.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, keputusan itu dibuat selepas mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) yang diadakan pada Rabu lalu.

"Hari ini adalah hari terakhir Yang Berhormat (YB) Haniza Mohamed Talha berkhidmat sebagai ahli MMKN Selangor dan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan dan Kehidupan Bandar.

"MMKN bermesyuarat pada Rabu lalu mengenai status bersesuaian dengan keputusan Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkenaan pelucutan keanggotaan beliau," katanya.

Beliau berkata, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah juga memberi perkenan berkenaan hal itu dalam majlis sembah maklum, semalam.

Justeru itu, katanya, portfolio Perumahan dan Kehidupan Bandar berkenaan akan dipangku olehnya dan sebarang program berkaitan portfolio itu turut ditangguhkan buat sementara waktu sehingga dimaklumkan kelak.

"Kerajaan negeri ingin mengucapkan terima kasih atas sumbangan Haniza dan selamat maju jaya," katanya.

Terdahulu pada 29 Jun lalu, Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR dalam mesyuarat bulanannya bersetuju dengan syor Lembaga Disiplin untuk melucutkan keanggotaan lima ahlinya termasuk Haniza yang juga Ketua Wanita PKR.

Empat yang lain ialah Timbalan Ketua Cabang Permatang Pauh Dr Afif Bahardin, Adun Sungai Acheh Zulkifli Ibrahim, Ketua Wanita PKR Sabah Rahimah Majid dan Ketua Wanita PKR Pulau Pinang Nur Zarina Zakaria.

Disiarkan pada: July 10, 2020 @ 7:07pm
d