mutakhir

Diskaun guna RFID di Jambatan Pulau Pinang

Oleh Nur Izzati Mohamad

KENDERAAN persendirian yang menggunakan teknologi Pengenalan Frekuensi Radio (RFID) untuk membayar tol di Jambatan Pulau Pinang bakal menikmati diskaun sebanyak 20 peratus mulai Selasa ini.

Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail, berkata, ia diberikan khas kepada mereka yang menetap, bekerja dan belajar di Pulau Pinang.

Menurutnya, mereka perlu mendaftarkan diri dengan PLUS di https://jimatdipenang.plusmiles.com.my untuk menikmati diskaun tol yang ditawarkan.

"Tag RFID yang dipasangkan pada kenderaan adalah lebih selamat dan mengelak dari disalah guna. Ia juga menawarkan kemudahan membuat tambah nilai secara dalam talian dan transaksi yang lebih lancar di plaza tol.

"Lebih menarik, RFID tidak memerlukan penggunaan bateri yang sering menjadi punca kegagalan transaksi seperti peranti SmartTAG sebelum ini," katanya dalam kenyataan di Georgetown, hari ini.

Jelasnya, sistem RFID menggunakan tag pengenalan fungsi radio yang dilekatkan pada kenderaan yang mana ia dihubungkan terus dengan eWallet Touch 'n Go yang membolehkan pelanggan membuat urusan tambah nilai secara dalam talian tanpa perlu mengunjungi kaunter tambah nilai dan membayar secara tunai.

"Pelekat RFID boleh diperoleh di pusat pemasangan RFID di seluruh Pulau Pinang dengan harga RM35 seunit. Pelanggan lebuhraya boleh merujuk senarai pusat pemasangan RFID yang berdekatan dengan melayari https://mx.touchngo.com.my/fitment-centres," katanya.

Sementara itu, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, berkata kerajaan negeri menyambut baik langkah PLUS menggunakan RFID yang ia membantu transaksi yang lebih pantas dan mengurangkan kesesakan di plaza tol.

Disiarkan pada: July 10, 2020 @ 7:40pm
d