mutakhir

Pelajar tajaan MAIPk boleh belajar di USAS

Oleh Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

DERMASISWA yang diperoleh pelajar tajaan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) akan diteruskan sekiranya mereka berhasrat meneruskan pengajian melalui program khas ditawarkan Universiti Sultan Azlan Shah (USAS).

Tawaran itu terbuka kepada pelajar yang menuntut di negara Asia Barat dan memperoleh dermasiswa tajaan MAIPk namun terpaksa pulang ke tanah air susulan penularan wabak Covid-19.

Ketua Pegawai Eksekutif MAIPk, Shahrul Azam Shaari, berkata, dermasiswa bagi pelajar yang menerima tawaran khas itu akan diteruskan tanpa sebarang gangguan.

Namun katanya, bagi pelajar dalam kategori sama namun tidak menerima dermasiswa MAIPk sebelum ini, mereka masih boleh memohon untuk mendapatkan tajaan itu.

"Ia adalah langkah proaktif dilakukan secara bersama dengan USAS yang dianggap belum pernah ditawarkan mana-mana pihak.

"Kadar tajaan yang akan diberikan kepada pelajar yang menerima tawaran itu akan dibayar berdasarkan kadar pelajar tempatan berbanding kadar pelajar luar negara seperti yang diterima sebelum ini.

"Setakat ini, tiada lagi inistaitif begini yang ditawarkan oleh mana-mana penaja ataupun pihak universiti tempatan. Oleh itu saya sarankan pelajar terbabit merebut peluang ini," katanya.

Menurutnya, pelajar peringkat diploma akan menerima RM3,000 setahun bagi had jangka masa pengajian selama tiga tahun.

"Manakala peringkat ijazah adalah sebanyak RM5,000 setahun bagi had pengajian selama empat tahun.

"Sementara itu bagi pelajar tahfiz, mereka akan menerima RM1,500 setahun bagi had sehingga tujuh tahun. Jumlah bayaran juga bergantung kepada tempoh masa mereka harus mengikuti pengajian di USAS termasuk selepas mengambil kira pemindahan kredit pengajian," katanya.

Beliau berkata demikian dalam taklimat khas kepada pelajar tajaan MAIPk di luar negara yang pulang ke Malaysia kerana Covid-19 di Auditorium USAS, Kuala Kangsar, hari ini.

Yang turut hadir Naib Canselor USAS, Tan Sri Prof Dr Nordin Kardi serta Timbalan Naib Canselor Pentadbiran dan Kewangan USAS, Anas Md Yusof.

Shahrul Azam berkata sehingga kini terdapat seramai 285 pelajar tajaan MAIPk dari pelbagai universiti di negara Timur Tengah termasuk Mesir, Saudi Arabia, Jordon serta Maghribi yang pulang ke Malaysia sejak Februari tahun ini susulan pandemik Covid-19.

Sementara itu, Prof Nordin berkata, pelajar dalam kategori terbabit yang berhasrat menyambung pengajian boleh memulakan pengajian mereka serta-merta bermula minggu hadapan dengan tarikh tawaran berakhir 17 Julai (Jumaat) depan.

Disiarkan pada: July 10, 2020 @ 8:28pm
d