mutakhir

Alpa, rasuah punca sempadan mudah dibolosi Pati - KPN

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

TERDAPAT penggiliran tugas sebulan sekali di antara unit dalam Pasukan Gerakan Am (PGA), namun ia belum memadai untuk menghalang pembolosan sempadan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, kealpaan dalam tugas dan rasuah dalam kalangan anggota PGA menjadi antara punca sempadan negara mudah dibolosi pendatang asing tanpa izin (Pati).

"Penggiliran tugas dilakukan pada setiap bulan dan selepas satu bulan, unit baharu akan menggantikan unit sebelum itu. Namun selepas bertahun-tahun, akhirnya penggiliran itu berputar di dalam pasukan itu juga.

"Jadi berlakulah kealpaan.. kemudian berlaku 'silaturahim' di antara petugas dengan orang tempatan serta orang luar yang menjadi ahli sindiket (penyeludupan Pati)," katanya dalam sidang media khas di Bukit Aman, hari ini.

Beliau berkata, ahli sindiket itu akhirnya berjaya menjalinkan hubungan dengan anggota penguat kuasa di sempadan sehingga menimbulkan perbuatan mengambil rasuah.

Menurutnya, mereka mengambil duit bayaran tertentu sama ada mengikut bulanan, mengikut kepala (bilangan Pati) atau mengikut trip.

"Ini adalah perbuatan amat tidak bertanggung jawab, saya anggapkan sebagai satu pengkhianatan kepada negara kerana akibatnya beribu-ribu orang dapat membolosi sempadan.

"Justeru, melalui Op Benteng Covid-19, satu tindakan holisitik semua agensi penguat kuasa dan pasukan keselamatan iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Imigresen (Imigresen), Agensi Penguatkuaaan Maritim Malaysia (APMM) serta Jabatan Kastam mewujudkan satu forum bertukar maklumat dan strategi.

"Ini termasuk dengan bantuan maklumat daripada penduduk kampung dan akhirnya Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) berjaya mengenal pasti dan menangkap anggota kita yang melakukan jenayah terancang," katanya.

Beliau berkata, mereka dikenakan tindakan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Menurutnya, seramai 80 ahli sindiket sudah didakwa termasuk anggota polis ditangkap dan 22 lagi kertas siasatan pertuduhan masih dalam peringkat perbincangan dengan Jabatan Peguam Negara.

"Kita masih memburu 11 orang lagi yang menjadi 'kepala' kepada sindiket ini.

"Usaha mengesan sindiket lain kini terus dijalankan menerusi maklumat dikongsi semua agensi penguat kuasa dan keselamatan terbabit dengan Op Benteng Covid-19," katanya.

Media sebelum ini melaporkan PDRM berjaya menumpaskan kegiatan penyeludupan migran terbesar di negara ini dengan melumpuhkan tiga sindiket menerusi Op Benteng-Covid-19 di Johor, Perak dan Pulau Pinang.

Pengarah JSJ Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed dalam sidang media 30 Jun lalu dilaporkan berkata, operasi dilaksanakan secara serentak menerusi operasi khas, Op Pintas Selatan 2020 (Johor), Op Benteng Lintang (Perak) dan Op Arakan (Pulau Pinang) bermula 4 Jun sehingga 20 Jun lalu.

"Hasil operasi itu, seramai 111 suspek ditahan termasuk ahli sindiket sudah dikenal pasti berada dalam tahanan penjara.

"Tiga sindiket itu adalah Geng Otong di Johor, Geng Halim (Perak) dan Geng Husen Maungdaw (Pulau Pinang),

"Menerusi operasi itu, polis menahan 24 pegawai penguat kuasa terdiri daripada 17 pegawai dan anggota polis (14 di Johor, tiga di Perak), lima anggota tentera (Johor) dan dua anggota Jabatan Imigresen di Pulau Pinang," katanya.

Disiarkan pada: July 10, 2020 @ 9:48pm
d