mutakhir

JKM bakal distruktur semula

Oleh Noorazura Abdul Rahman

KEMENTERIAN Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan melakukan penstrukturan semula Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dalam usaha penambahbaikan agensi kementerian berkenaan.

Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, penyusunan semula itu masih dalam peringkat perbincangan.

"Sejak pandemik Covid-19 melanda negara, saya merasa sudah sampai masanya kementerian melihat semula peranan JKM untuk diberi pengiktirafan dengan usaha dan tanggungjawab mereka selama ini.

"Jujurnya saya terharu melihat usaha dan pengorbanan wira negara sejak kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), mereka tetap memastikan masyarakat terjejas akibat Covid-19 terus dijaga kebajikan dengan bantuan bakul makanan.

"Ada kalanya warga JKM dilemparkan dengan kata-kata negatif, namun mereka tabah dan tetap melaksanakan tanggungjawab tanpa merungut," katanya ketika berucap meraikan jamuan minum petang bersama Pengarah JKM dari seluruh negara di Alor Setar, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pengarah JKM, Zulkifli Ismail.

Rina berkata, beliau sentiasa mempertahankan warga JKM pada mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) setiap kali timbul pelbagai isu membabitkan mereka.

Menurutnya, beliau menganggap mereka sebagai wira negara kerana tanpa mereka masakan sudah lebih satu juta isi rumah dari seluruh negara yang terkesan menerima bakul makanan ketika masyarakat tidak dibenarkan keluar rumah.

Disiarkan pada: July 10, 2020 @ 10:17pm
d