mutakhir

Wanita warga emas ditemui mati di dalam rumah

Oleh BERNAMA

WANITA warga emas yang dipercayai 'terkunci' di dalam rumahnya di Jalan Hang Lekiu 6, Taman Skudai, Johor Bahru, ditemui mati, hari ini.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Skudai Pegawai Bomba Kanan II Mohd Fauzi Che Deris berkata, mangsa Zaiton Ismail, 75, tinggal berseorangan di rumah berkenaan.

"Dia (mangsa) kebiasaannya dilaporkan akan keluar dari rumah setiap pagi dan bersembang dengan jiran sekeliling, namun sewaktu kejadian (hari kejadian), kelibat mangsa tidak kelihatan.

"Berasa pelik dengan keadaan itu, jiran mangsa cuba memeriksa di rumahnya dan ternampak mangsa terbaring di atas katil dalam keadaan tidak sedarkan diri," katanya dalam kenyataan, malam ini.

Beliau berkata, jiran mangsa menghubungi bomba pada 3.27 petang untuk meminta bantuan sebelum dua jentera termasuk Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari BBP Skudai dengan kekuatan seramai 11 orang anggota dikejarkan ke tempat kejadian.

Menurutnya, mangsa didapati terperangkap dalam rumah itu dan bomba menggunakan peralatan khas bagi membuka pintu rumah mangsa.

"Menurut maklumat, mangsa mempunyai anak, namun mereka bekerja di Singapura.

"Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya.

Disiarkan pada: July 10, 2020 @ 10:44pm
d