mutakhir

Pemandu maut rempuh lori di hadapan

Oleh Mohamed Farid Noh

PEMANDU lori maut selepas kenderaan dipandunya merempuh lori di hadapan, dalam kejadian di Kilometer 5.5 Lebuhraya Utara-Selatan, arah utara dekat Johor Bahru, hari ini.

Erman Misran, 36, yang tersepit dikeluarkan sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tebrau sebelum disahkan meninggal dunia.

Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II Khairul Azhar Abd Aziz berkata, sepasukan 11 anggota termasuk unit EMRS bergegas ke lokasi sebaik menerima maklumat kejadian pada 6.11 pagi.

"Setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) di lokasi, mendapati sebuah lori tiga tan dipandu mangsa yang membawa bahan mentah merempuh sebuah lagi lori tiga tan yang berada di hadapannya.

"Anggota mengambil masa 30 minit untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit dan dia disahkan meninggal dunia.

"Mayat kemudian diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut, " katanya dalam kenyataan, hari ini.

Khairul Azhar berkata, seorang lagi pemandu lori tidak cedera

Disiarkan pada: July 11, 2020 @ 10:01am
d