mutakhir

Nelayan Vietnam ceroboh perairan Sarawak

Oleh Mohd Roji Kawi

AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Sarawak menahan sebuah bot nelayan asing di lokasi 56 batu nautika di utara Tanjung Sirik, Tanjung Manis, Khamis lalu.

Pengarahnya, Laksamana Pertama Maritim Robert Teh Geok Chuan berkata, bot nelayan Vietnam itu ditahan oleh aset APMM Tanjung Manis yang melakukan rondaan dalam operasi khas pada jam 6.40 petang.

Beliau berkata, tiga nelayan termasuk tekong berusia 33 hingga 42 tahun ditahan untuk tindakan lanjut.

"Ketika disoal, tekong dan dua orang awak-awak gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri.

"Hasil pemeriksaan terhadap bot berkenaan menemui kira-kira 100 kilogram ikan pelbagai jenis," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Geok Chuan berkata, berdasarkan keadaan dan jumlah hasil tangkapan, bot berkenaan dipercayai baru memasuki perairan negara.

"Bot berserta hasil tangkapan dan peralatan menangkap ikan dianggar bernilai RM1 juta serta tiga nelayan terbabit dibawa ke Jeti Terminal Penumpang Tanjung Manis untuk menjalani ujian saringan Covid-19 oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia.

"Selepas pemeriksaan itu, mereka diserahkan kepada pegawai penyiasat APMM untuk siasatan lanjut," katanya.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 kerana tidak mempunyai permit untuk melakukan sebarang aktiviti penangkapan ikan di perairan negara.

"Tiga nelayan itu juga akan disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri.

"APMM akan meningkatkan kawalan dan rondaan penguatkuasaan bagi membanteras pencerobohan nelayan asing di perairan negeri ini.

"Justeru, orang ramai diminta terus memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat mengenai aktiviti jenayah yang berlaku di perairan Sarawak menerusi talian 999 atau Pusat Operasi APMM di talian 082-432544 yang beroperasi 24 jam," katanya.

Disiarkan pada: July 11, 2020 @ 12:13pm
d